FGV

KUALA LUMPUR – Kesemua 68 kilang dan 173 ladang yang merangkumi 373,517 hektar tanah milik FGV Holdings Berhad (FGV) di seluruh negara kini 100% diperakui di bawah pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) mengikut standard Malaysia MS 2530 : 2013.

Anak syarikat FGV, Plantation Asia (Sarawak) Sdn Bhd, adalah yang terakhir menjalani proses ini dan sudah menerima pengesahannya pada 27 Februari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Dato ‘Haris Fadzilah Hassan berkata, pensijilan MSPO adalah pengukuhan komitmen FGV terhadap kelestarian dan sokongan dalam usaha kerajaan melalui Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) bagi meningkatkan minyak sawit Malaysia di mata dunia.

“Ia merupakan perjalanan yang sukar tetapi bermanfaat memandangkan banyak operasi FGV seluruh Malaysia. Kami berterima kasih kepada MPOCC atas sokongan dan bimbingan mereka sepanjang proses pensijilan.

“Sebagai salah satu pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar di dunia, pensijilan ini merupakan pengesahan nilai FGV sebagai pemain perniagaan yang mampan dan bertanggungjawab, sejajar dengan matlamat kemampanan kami. FGV akan terus memastikan standard tertinggi dalam rantaian bekalan kami,” kata Haris Fadzilah.

FGV adalah sebahagian daripada Jawatankuasa Kerja Teknikal Standard MSPO 2013 dan juga Jawatankuasa Kerja Teknikal Akreditasi Standard MSPO 2013. – MalaysiaGazette