KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi Asia Pasifik dijangka perlahan kepada 4% pada tahun ini – kadar terendah sejak krisis kewangan global disebabkan oleh penularan wabak Covid-19.

S&P Global Ratings berkata, kerosakan ekonomi akibat Covid-19 dijangka mencecah AS$211 bilion.

Bagaimanapun, katanya, pemulihan semula ekonomi berbentuk U (U-shaped) dijangka bermula pada akhir tahun ini.

Ekonomi berbentuk U bermakna pemulihan ekonomi lebih lama.

Dalam artikel bertajuk “Covid-19 now threatens more damage to Asia-Pacific”, agensi penarafan itu berkata, tinjauan Asia Pasifik malap disebabkan penularan koronavirus itu.

Ia mengunjurkan perbelanjaan isi rumah di Jepun dan Korea dijangka lemah dan pertumbuhan perlahan di Amerika Syarikat dan Eropah akan cenderung memberi kesan luaran.

“Meskipun China sudah kembali bertugas secara berperingkat-peringkat tetapi pekerja masih berhati-hati kerana khuatir berlakunya wabak semula,” kata Shaun Roache, pakar ekonomi Asia Pasifik di S & P Global Ratings.

Tetapi, beliau berkata, epidemik koronavirus tidak dijangka mendatangkan kerosakan kekal kepada tenaga buruh atau pasaran modal.

Ini bermakna, ekonomi-ekonomi serantau perlu mengambil seramai mungkin pekerja dan menghasilkan banyak pengeluaran menjelang akhir tahun depan untuk mengimbangi bekalan ketika kebanyakan pekerja di negara wabak diberi cuti.

“Namun, pemulihan berbentuk U akan membawa kerugian ekonomi serantau kira-kira AS$211 bilion yang akan melemahkan lembaran imbangan.

‘Beberapa aktiviti ekonomi akan hilang selama-lamanya, terutama bagi sektor perkhidmatan,” kata Roache.

Kerugian ini akan membabitkan seluruh sektor isi rumah, korporat bukan kewangan, kewangan dan berdaulat.

Lagi banyak bantuan oleh kerajaan dengan menggunakan sumber-sumber awam, semakin banyak beban akan dipindahkan kepada sektor awam.

Beliau menjangkakan ekonomi China hanya berkembang 4.8% pada tahun depan sebelum melonjak kukuh 6.6% pada tahun depan.

Ekonomi yang terjejas teruk ialah Hong Kong, Singapura dan Thailand kerana aliran penduduk dan rantaian bekalannya besar.

“Kita menjangkakan ekonomi Hong Kong akan susut 0.8% pada tahun 2020, Singapura ke paras rata dan pertumbuhan Thailand perlahan kepada 1.6%,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast