Gambar menunjukkan keadaan sebuah restoran di TTDI Jaya, Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) meminta orang ramai memboikot premis makanan kotor sekalipun hidangan yang dijual sedap.

Presidennya, Datuk Dr Jacob George berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi memberi pengajaran kepada pemilik-pemilik premis supaya mengutamakan kebersihan dalam operasi dan penyediaan makanan kepada orang ramai, tambahan lagi ketika negara dijangkiti dengan kes Covid-19.

Gesaan itu dibuat selepas pemantauan dan siasatan yang dijalankan di sekitar TTDI Jaya, Shah Alam mendapati kebanyakan kedai makanan di sana kotor dan dalam keadaan menjijikkan.

Jacob George

Berdasarkan siasatan yang dijalankan Cassa didapati pekerja-pekerja kedai makanan tidak memakai penutup kepala, sarung tangan, meletakkan pinggan dan mangkuk di atas lantai, bekas mengisi makanan diletakkan ditepi longkang atau berhampiran tempat pembuangan sampah dan longkang bertakung serta meletakkan meja makan di tepi jalan.

Ini belum lagi pelbagai haiwan kelihatan berkeliaran di premis-premis makanan.

Jacob berkata, walaupun pihak berkuasa tempatan memberi status kebersihan ‘A,B,C’ namun nampaknya perkara itu tidak dipandang serius oleh pemilik-pemilik makanan.

Beliau tidak menolak keadaan kotor dalam premis-premis makanan ini disebabkan kurangnya pihak penguatkuasa turun padang untuk memantau.

Keadaan belakang sebuah restoran di TTDI.

“Jika semua pihak berkuasa kerap melakukan operasi bersepadu masalah restoran kotor dan menjijikkan dapat dapat ditangani atau sekurang-kurangnya dapat dibendung.

“Saya kesal keadaan seperti ini masih berlaku pada tahun 2020, ketika gaya hidup penduduk negara kita semakin meningkat tetapi soal kebersihan langsung tidak diendahkan.

“Oleh sebab itu, saya meminta khususnya ibu bapa ambil berat soal kebersihan ketika membawa anak-anak kerana mereka juga berhak untuk tidak dibawa di tempat-tempat yang mendatangkan bahaya kepada kesihatan mereka,” kata Jacob kepada MalaysiaGazette.

Sambil memberi contoh, Jacob berkongsi pemandangan sebuah restoran di TTDI Jaya yang didakwanya tidak menjaga kebersihan.

Katanya, gambar itu diambil dalam pemantauan Cassa sejak beberapa hari, baru-baru ini.

“Orang ramai lihatlah sendiri bagaimana hidangan anda dihidangkan. Nilailah sendiri.

“Disebabkan faktor-faktor inilah, saya berpendapat sudah sampai masanya kita boikot kedai-kedai makan yang kotor, walaupun ia menjual makanan yang sedap dan murah.

“Ini soal kesihatan orang ramai dan pelanggaran disiplin dan peraturan peniaga yang tidak mementingkan kebersihan,” tegasnya. – MalaysiaGazette