KUALA LUMPUR – Susulan penurunan Kadar Dasar Semalam (OPR) oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini, CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd akan menurunkan kadar asas dan deposit tetap atau kadar pendapatan pulangan tetap akaun-i sebanyak 25 mata asas mulai 9 Mac ini.

Semua kemudahan berasaskan kadar pinjaman asas (BLR) dan kadar pembiayaan asas (BFR) ajan diturunkan sebanyak 0.25%.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, pengurangan OPR kali kedua bagi tahun 2020 ini mencerminkan keperluan penting untuk menyokong ekonomi Malaysia dalam menghadapi potensi gangguan berpanjangan terhadap aktiviti ekonomi akibat Covid-19.

“Kami percaya pengurangan OPR, ditambah pula dengan pakej rangsangan ekonomi akan membawa prospek yang lebih baik untuk pertumbuhan ekonomi yang berterusan,” katanya di sini. – MalaysiaGazette