Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah.

KUALA LUMPUR – Pemimpin Perikatan Nasional (PN) diingatkan tidak bermain politik demi mendapatkan jawatan penting dalam kerajaan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, perkara mustahak sekarang ialah menumpukan perhatian dalam usaha membangunkan kembali negara.

Justeru ujarnya, mana-mana pemimpin dalam PN yang tidak terpilih mengganggotai jemaah Kabinet disarankan sentiasa berlapang dada menerima keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kembali kepada asas kita membentuk PN yang pada dasarnya untuk menyelamatkan negara daripada kegelapan ekoran cengkaman DAP dalam kerajaan PH (Pakatan Harapan) yang telah tumbang baru-baru ini.

“Jadi, janganlah ada dalam kalangan kita bermain politik untuk menduduki jawatan penting dalam kerajaan. Berilah peluang kepada Perdana Menteri untuk membentuk barisan Kabinetnya kerana masa yang ada terlalu suntuk untuk memulihkan negara yang telah dirosakkan rejim PH,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pergerakan Pemuda UMNO Johor, tambah Mohd. Hairi juga menyeru Muhyiddin melantik pemimpin yang mampu bekerja dan elak memilih kroni sebagai anggota Kabinet.

“Kepada Perdana Menteri, Menteri Besar mahupun Ketua Menteri lantiklah mereka yang berwibawa, mempunyai kredbiliti dalam menganggotai Kabinet kalian, pilihlah individu yang mempu bekerja bukannya kroni mahupun pengampu, ini penting bagi memulihkam imej negara yang telah tercalar,” tambahnya.

Selepas PN berjaya ‘menumbangkan’ PH minggu lalu dengan menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, kerajaan itu sehingga kini masih belum memiliki Kabinet baharu. – MalaysiaGazette