KUALA LUMPUR – Lebih 100 orang bersama Pertubuhan Hizbut Tahrir Malaysia berarak secara aman dan berhimpun di hadapan Bangunan Wisma HRIR Lotus, Jalan Pahang hari ini sebagai membantah keganasan dan pembunuhan komuniti Islam di India.
Jurucakapnya, Abdul Hakim Othman berkata, pihaknya kecewa dengan kezaliman yang dilakukan ke atas umat Islam di beberapa wilayah di India termasuk New Delhi sehingga harta benda milik masyarakat minoriti itu dimusnahkan dan ada dalam kalangan mereka dibunuh.
“Kita tahu apa yang telah berlaku di India ke atas saudara kita kaum muslimin di sana berdasarkan laporan-laporan media selama ini yang mana berlaku rusuhan dan pembunuhan ke atas umat Islam di sana oleh kaum ekstremis Hindu dengan restu daripada kerajaan India.
“Hari ini kita hantar memorandum bantahan kepada Suruhanjaya Tinggi India dengan harapan mereka dapat menyampaikan mesej ini kepada Perdana Menteri, Narendra Modi supaya segala bentuk penindasan dihentikan segera dan mengembalikan semula kesejahteraan kehidupan dan hak kerakyatan saudara kita di sana,” katanya ketika ditemui di hadapan bangunan tersebut hari ini.
Mereka mula berkumpul beramai-ramai pukul 2.25 petang tadi selepas solat Jumaat dengan membawa sepanduk mengecam kekejaman Modi dan kerajaannya sebelum bersurai sekitar 3 petang secara aman.
Abdul Hakim dalam perkembangan berkaitan menyatakan kekesalan dengan sikap Suruhanjaya India di sinyang tidak mahu menghantar seorang wakil untuk menerima memorandum tersebut.
Katanya, mereka berkumpul menyampaikan solidariti rakyat Islam Malaysia dan serata dunia kepada penduduk Islam di India yang berdepan penindasan ketika ini.
Beliau menyifatkan kerajaan India pengecut kerana tidak bersedia menerima memorandum yang ingin disampaikan pihaknya yang mendesak segala bentuk penindasan dihentikan serta merta dan mengembalikan keamanan segera kepada umat Islam di India.
“Kita telah saksikan kebaculan kerajaan India menerima memorandum kami ini, mereka tidak menghantar wakil dan kami terpaksa memasukkan di dalam peti surat di luar bangunan itu sekaligus menunjukkan ini satu tindakan biadap dan tidak profesional yang tidak seharusnya ditunjukkan suruhanjaya tinggi.
“Mereka seharusya menerima dengan profesional bantahan ini walaupun mereka tidak bersetuju tapi mereka tak menerima ini menunjukkan kebacolan dan kebiadaban merka terhadap umat Islam.
“Saya memohon seluruh umat Islam untuk berjuang menegakkan hak dan kesejahteraan umat kita yang dianiaya di tanah tersebut,” katanya.
Beliau juga menyampaikan pesanan tegas kepada Modi supaya mengembalikan semula hak kerakyatan yang sedang cuba dinafikan kerajaan India menerusi Pindaan Akta Kewarganegaraan yang baru baru ini membawa krisis perlembagaan selain menerima kecaman majoriti warga India terhadap usaha kerajaan itu yang dianggap menindas hak kaum Islam yang hidup sejak berzaman-zaman di negara berkenaan.
“Kami menerusi mesej dan memorandum ini mahu Modi sedar bahawa masyarakat Islam di Malaysia bangkit dan sedih dengan sikap kerajaan dan perlu segera memulihkan hak umat Islam di situ dan kembalikan keharmonian,” ujarnya.
Dalam pada itu mereka yang berkumpul di hadapan premis itu juga menyatakan kekesalan tiada seorang pun pemimpin di Malaysia menyuarakan keprihatinan terhadap apa yang berlaku dan gagal mendesak kerajaan Modi hentikan segala penindasan tersebut.
Ada dalam kalangan mereka yang berucap mendesak supaya kerajaan perlu segera mengkaji semula hubungan dengan India dan jika boleh memutuskan segala hubungan diplomatik yang terjalin dengan India.
Selain itu, kerajaan perlu menghantar pulang pesuruhjaya India di Malaysia sebagai langkah terakhir dalam penyelesaian ke atas penindasan umat Islam.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supritendan Rajab Ahad Ismail berkata, penganjur telah menghantar surat permohonan mengenai penganjuran demonstrasi bagaimanapun polis tidak membenarkan mereka berhimpun hari ini.
Kira-kira 30 anggota polis dari Balai Polis Setapak dan cawangan khas telah turun ke lokasi untuk memantau keadaa dan aktiviti yang dianjurkan Hizbut Tahrir Malaysia itu.-MalaysiaGazette