TAMPIN – Seorang lelaki warga emas maut dalam sebuah kebakaran rumah teres setingkat di Taman Indah di sini, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Tampin Supt Amiruddien Sariman berkata dalam kejadian kira-kira 6.15 pagi itu, mangsa berusia 63 tahun ditemukan di bilik ruangan belakang, dipercayai gagal menyelamatkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
“Rumah berkenaan dihuni tiga beranak, bagaimanapun isteri dan anaknya masing-masing berusia 56, dan 27, dapat menyelamatkan diri daripada kebakaran yang menyebabkan 30 peratus bahagian belakang rumah terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada lintas pintas dan tiada unsur jenayah dikesan.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin bagi tujuan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian dan siasatan lanjut masih dijalankan.- BERNAMA
















