Datuk Onn Hafiz Ghazi Johor MB Menteri Besar
Datuk Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU – Datuk Onn Hafiz Ghazi, 42, yang merupakan cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar merupakan antara muka baharu yang dilantik membarisi barisan Exco Makmur Johor.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang dilantik memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri.

Anak saudara kepada Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn itu mengakui portfolio yang dipertanggungjawabkan kepadanya adalah berat.

“Saya akan berusaha memeberikan yang terbaik bersama barisan Exco dengan sokongan Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad untuk memberi khidmat kepada rakyat.

“Yang akan menjadi fokus utama saya tentunya Tahun Melawat Johor 2020 Dan juga persediaan Sukan Malaysia (SUKMA) Johor edisi ke 20, yang hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi,” katanya kepada media di sini.

Tambahnya, bagi tujuan itu, beliau akan mendapatkan pandangan pelbagai pihak barkaitan terutama dalam menghadapi cabaran
virus Covid-19.

Naib Ketua UMNO Bahagian Sembrong itu menyedari beliau mempunyai masa yang sangat pendek, namun akan berusasa memberi dan membuat yang terbaik dengan sentiasa mendapat pandangan dan nasihat Menteri Besar. – MalaysiaGazette