KD Lekiu

KUALA LUMPUR – Ujian saringan pertama yang telah diadakan ke atas semua warga KD Lekiu Tentera Laut Diraja Malaysia mendapati kesemua pegawai dan anggota disahkan negatif Penyakit Virus Korona (Covid-19).

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Perak dalam satu kenyataan hari ini berkata ujian saringan Covid-19 itu telah dijalankan semalam 5 Mac 2020.

Bagaimanapun katanya kesemua mereka akan dikuarantin dalam kapal tersebut sehingga menjalani ujian saringan kedua dan memperolehi keputusannya.

“Tiada warga kapal yang dikesan mengalami simptom COVID-19 dan kesemua warga dalam keadaan sihat.

“KD Lekiu dijangka meneruskan pelayaran pulang ke Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) hari ini dan dijangka tiba pada 9 Mac 2020,” kata kenyataan itu lagi.

Tambah pihak berkenaan, TLDM akan terus mengambil langkah berjaga-jaga setiba kapal di TPL, yang mana saringan kedua akan dilaksanakan bagi langkah berjaga-jaga dan sebagai mengesahkan bahawa warga kapal bebas dari virus COVID-19.

Sehubungan itu,katanya semua warga akan dikuarantin di kapal sehingga keputusan saringan kedua diperoleh dan dimuktamadkan oleh Bahagian Kesihatan.

“TLDM akan memastikan semua langkah keselamatan diambil mengikut garis panduan yang diberikan.

“Dalam masa yang sama, TLDM turut akan memastikan semua prosedur dilaksanakan secepat mungkin bagi membolehkan semua warga boleh berjumpa dengan ahli keluarga masing-masing dalam kadar segera,” tegas kenyataan itu lagi.-MalaysiaGazette