PUTRAJAYA – Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, punca utama kerajaan Perikatan Nasional (PN) menunda tarikh persidangan Dewan Rakyat adalah tanda Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berdepan kesukaran.
Menurut Setiausaha Agung PKR itu, Perdana Menteri kelapan itu dilihat menghadapi kesukaran kerana masih belum memutuskan senarai Kabinet baharu kepada umum.
“Saya faham kesukaran yang beliau (Muhyiddin) alami sekarang. Untuk menubuhkan jemaah menteri sehigga membawa kepada penangguhan Dewan Rakyat daripada 9 Mac ke 18 Mei, itu adalah gambaran yang menunjukkan beliau sukar untuk menjalankan proses kelompok yang pelbagai.
“Apa lagi rakyat sedang ternanti-nanti rupa sebuah kerajaan di mana wakil daripada bukan Melayu itu sangat kecil,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis apresiasi di kementerian itu hari ini.
Saifuddin berkata, Muhyiddin yang mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 1 Mac lalu seharusnya menyelesaikan isu dakwaan pengkhianat yang dilemparkan oleh masyarakat selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Saya faham amat sukar untuk Tan Sri Muhyiddin untuk menguruskan isu pelantikan Kabinet kerana dia harus tangani persepsi pengkhianatan, bagaimanapun dia cuma mengolah dengan memberikan wajah yang lebih baik terhasil insiden ini tapi masih belum dapat lari daripada stigma itu,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, PH akan tetap mengetengahkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pada sesi Dewan Rakyat akan datang.
Malah katanya, PH sedang giat menjalankan gerak kerja bagi jelajah di peringkat nasional bagi menerangkan kepada umum punca kerajaan PH tumbang minggu lalu.
“Saya fikir kerana itu PH kami percaya bahawa perjuangan belum selesai, kami ada beberapa perkara dalam penyusunan kami yang hanya sesuai diumumkan dari masa ke semasa dan pimpinan utama kami.
“Ini termasuk undi tidak percaya kepada Perdana Menteri pada hari pertama lagi. Akan ada undi tersebut tidak kira apa pun. Dia boleh tangguh Dewan Rakyat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette