Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Dahulu lompat-melompat adalah perbuatan jijik, dan dahulu sayalah dituduh katak kerana melompat parti, kata Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.

Sekarang katanya, beribu-ribu pemimpin melompat keluar parti sehingga kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baharu dibentuk turut digelar ‘kerajaan katak’ kerana berlaku lompat-melompat.

“Saya dengar ramai mengatakan kerajaan sekarang tidak bermoral. Ini kerajaan lompat dan ‘katak-katak’ ini pula kepalanya buruk, kepalanya bernanah. Masa saya dulu, saya seorang sahaja lompat.

“Sebab itu, jangan mengata orang lebih, mengata dulang paku serpih, sekarang ini kena atas muka dia orang masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Putra Bahagian Setiawangsa dan Titiwangsa di Dewan Orang Ramai Kampung Paya, Kampung Bharu hari ini.

Ibrahim digelar ‘Raja Katak’ oleh kebanyakan pemimpin terutama UMNO kerana tindakannya melompat ke Parti Semangat 46 (46) kemudian kembali semula kepada UMNO sebelum menyertai bebas dan kini menubuhkan partinya sendiri.

Gelaran itu kemudian tidak lagi menjadi buah mulut kalangan pemimpin parti, baik lawan mahupun kawan kerana kebanyakan mereka juga turut lompat melompat ke parti yang dilihat boleh memberi kesinambungan ‘nyawa’ kepada mereka.

Hari ini, Ibrahim memulang paku buah keras kepada rakan politiknya kerana akibat perbuatan lompat melompat itu, tumbangnya sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada PRU-14 lalu.

“Jadi, jika PN nak kembali bermaruah, saya sarankan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin agar nasihat Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Dewan Rakyat dan adakan PRU secepat mungkin.

“Inilah cara terbaik bagi menjamin kestabilan politik negara dan juga bagi menjamin kedudukan Malaysia dari segi geopolitik antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Kesian kat katak, xada kena mengena dlm politik terus jd hina…… manusia2, na’uzubillahi min Zalik

Comments are closed.