Tan Sri Muhyiddin Yassin

Oleh Dr. Wan Mat Sulaiman 

TERENGGANU Strategic & Integrity Institute (TSIS) telah membuat jangkaan tepat mengenai keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Johor Bahru melalui kaji selidik bebasnya pada 7 hingga 9 November 2019.

Begitu juga dengan keputusan PRK Kimanis, Sabah melalui kaji selidik bebasnya  pada 10 hingga 15 Januari 2020.

Terbaharu, TSIS dengan kerjasama sekumpulan penyelidik dari sebuah institusi pengajian awam tempatan (IPTA) telah melakukan satu kaji selidik bebas bertajuk “Kaji Selidik Mengenai Situasi Politik Semasa Negara” bagi membolehkan satu rumusan objektif mengenai situasi politik semasa negara dibuat.

Kaji selidik ini dilakukan secara tatap muka selama 20 hari iaitu pada 1 hingga 20 Februari 2020, dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata. Ia merangkumi 1,451 responden membabitkan semua kaum, jantina dan peringkat umur di semua 222 Parlimen di 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan di seluruh Malaysia, yang terdiri daripada satu peratus daripada bilangan pengundi di setiap Parlimen.

Berikut disiarkan sebahagian daripada dapatan kaji selidik tersebut.

Dr. Wan Mat Sulaiman

Maklumat peribadi responden

Dari segi jantina, 52 peratus (755) daripada responden adalah lelaki dan 48 peratus (696) adalah perempuan.

Dari segi usia, 22 peratus (319) daripada responden berusia 21 hingga 30 tahun, 26 peratus (377) daripada responden berusia 31 hingga 40 tahun, 24 peratus (348) berusia 41 hingga 50 tahun, 18 peratus (261) berusia 51 hingga 60 tahun dan 10 peratus (146) berusia lebih 60 tahun.

Dari segi etnik, 69 peratus (1,001) daripada responden adalah Bumiputera, 23 peratus (334) daripada responden adalah Cina, 7 peratus (102) adalah India dan 1 peratus (14) lain-Lain.

Dari segi kawasan kediaman, 37 peratus (537) daripada responden menetap di bandar, 28 peratus (406) di pinggir bandar, 34 peratus (493) di kampung dan 1 peratus (14) di lain-Lain.

Dari segi pekerjaan, 28 peratus (406) daripada responden adalah berniaga/bekerja sendiri, 13 peratus (189) kakitangan awam, 24 peratus (348) kakitangan swasta, 25 peratus (363) suri rumah/pesara dan 10 peratus (145) tidak bekerja/pelajar.

Pandangan mengenai situasi politik semasa negara

Sebanyak 30 soalan telah dikemukakan kepada semua responden.

Dua daripada 30 soalan melibatkan kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, di mana didapati bahawa:

(1)       62 peratus (899) daripada responden bersetuju bahawa kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14 adalah berpunca daripada kepimpinan yang diberikan oleh Dr. Mahathir berbanding 33 peratus (479) yang tidak bersetuju.

(2)       53 peratus (769) daripada responden berpuas hati dengan prestasi Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh berbanding 41 peratus (595) yang tidak berpuas hati.

Tiga daripada 30 soalan pula melibatkan peralihan kuasa, di mana didapati bahawa:

(1)       35 peratus (507) daripada responden bersetuju Dr. Mahathir paling sesuai meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada PRU-15, berbanding 17 peratus (247) selepas PRU-15, 16 peratus (232) pada November 2020, 11 peratus (160) pada Mei 2020, 8 peratus (116) pada Mei 2021 dan 6 peratus (87) pada Mei 2022.

(2)       59 peratus (856) daripada responden tidak bersetuju Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin PH yang paling sesuai untuk menggantikan tempat Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, berbanding 33 peratus (479) yang bersetuju.

(3)      34 peratus (493) daripada responden meletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada BERSATU sebagai pilihan pertama mereka untuk menggantikan tempat Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, diikuti oleh 22 peratus (319) yang memilih Datuk Seri Mohamad Hassan dari UMNO dan 16 peratus (232) memilih Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari PKR.

Tiga daripada 30 soalan lagi adalah melibatkan pensejajaran semula pemerintahan negara, di mana didapati bahawa:

(1)       62 peratus (900) daripada responden bersetuju dengan cadangan supaya BERSATU segera bergabung dengan Muafakat Nasional (MN) dan parti-parti politik di luar PH lain, berbanding 29 peratus (420) yang tidak bersetuju.

(2)       55 peratus (798) daripada responden bersetuju dengan cadangan supaya Parlimen segera dibubarkan bagi menyelesaikan kemelut politik negara berbanding 37 peratus (537) yang tidak bersetuju.

(3)       51 peratus (740) daripada responden bersetuju cadangan supaya PH segera bergabung dengan MN dan menubuhkan kerajaan perpaduan berbanding 38 peratus (551) yang tidak bersetuju.

Dua daripada 30 soalan lagi adalah melibatkan pakatan politik, di mana didapati bahawa:

(1)       59 peratus (856) daripada responden bersetuju PH didominasi oleh golongan bukan Islam dan ini akan mengancam kestabilan negara, berbanding 32 peratus (465) yang tidak bersetuju.

(2)       72 peratus (1045) daripada responden berpendapat DAP adalah parti politik yang paling memberikan masalah kepada keutuhan PH sebagai satu pakatan politik dan sebagai kerajaan Pusat.

Analisa ke atas dapatan kaji selidik

Secara kebetulannya telah berlaku perubahan besar dalam situasi politik semasa negara hanya tiga hari setelah survei ini dilakukan membabitkan:

(1)       Tindakan 11 Ahli Parlimen PKR diketuai oleh Mohamed Azmin keluar daripada PKR.

(2)       Tindakan BERSATU keluar daripada PH.

(3)       Tindakan Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

(4)       Lantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri interim.

Disebabkan perubahan besar ini, maka setiap pakatan politik berlumba-lumba untuk membuat pensejajaran semula pemerintahan negara dengan mencadangkan nama-nama tertentu, khasnya Dr. Mahathir, Muhyiddin dan Anwar sebagai calon Perdana Menteri mereka.

Berdasarkan dapatan kaji selidik kami ini, maka kami berpendapat turutan pilihan yang perlu digunakan bagi menyelesaikan kemelut politik semasa negara sekarang adalah:

(1)       Penggabungan segera BERSATU dengan MN dan parti-parti politik di luar PH lain yang mendapat sokongan 62 peratus (900) daripada responden.

(2)       Pembubaran segera Parlimen bagi membolehkan PRU-15 dilangsungkan yang mendapat sokongan 55 peratus (798) daripada responden.

(3)       Penggabungan segera PH dengan MN dan menubuhkan kerajaan perpaduan yang mendapat sokongan 51 peratus (740) daripada responden.

Disebabkan 59 peratus (856) daripada responden bersetuju PH adalah didominasi oleh golongan bukan Islam dan ini akan mengancam kestabilan negara serta 72 peratus (1,045) daripada responden berpendapat DAP adalah parti politik yang paling memberikan masalah kepada keutuhan PH sebagai satu pakatan politik dan sebagai kerajaan Pusat, maka mana-mana cadangan penubuhan kerajaan baharu yang melibatkan DAP sepatutnya tidak menjadi pilihan.

Walaupun 62 peratus (899) daripada responden bersetuju kemenangan PH dalam PRU-14 adalah berpunca daripada kepimpinan yang diberikan oleh Dr. Mahathir dan 53 peratus (769) daripada responden berpuas hati dengan prestasi Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, tetapi disebabkan cadangan lantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dalam penubuhan kerajaan baharu masih melibatkan DAP, maka cadangan lantikan Dr. Mahathir sepatutnya tidak menjadi pilihan.

Disebabkan 59 peratus (856) daripada responden tidak bersetuju Anwar adalah pemimpin PH yang paling sesuai untuk menggantikan tempat Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan 34 peratus (493) daripada responden meletakkan Muhyiddin dari BERSATU sebagai pilihan pertama mereka untuk menggantikan tempat Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, maka cadangan lantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dalam penubuhan kerajaan baharu yang tidak akan melibatkan DAP adalah pilihan terbaik yang ada.

Sebab itulah TSIS berpendapat, tindakan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dalam penubuhan kerajaan baharu yang disertai BERSATU, UMNO, Pas dan parti-parti politik di luar PH lain adalah satu keputusan cukup bijaksana yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, bertepatan dengan dapatan kaji selidik ini.

Lantikan ini adalah refleksi kepada aspirasi rakyat terbanyak, di mana gabungan undi semua parti politik ini jauh mengatasi gabungan undi parti-parti politik di dalam PH dalam keputusan PRU-14, manakala calon-calon PH juga mengalami kekalahan teruk dalam lima PRK terakhir yang disertai oleh MN. – MalaysiaGazette

— Dr. Wan Mat Sulaiman adalah Ketua Eksekutif TSIS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.