Latheefa Koya

KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meletakkan jawatan semalam sebenarnya satu tindakan tepat pada masanya.

Ini berikutan sejak dilantik memegang jawatan itu, kredibiliti Latheefa dan SPRM sering dipertikaikan, lebih-lebih lagi beliau merupakan bekas Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat.

Itu luahan EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mustafa Shah Abdul Hamid yang juga merasa pelantikan Latheefa sebagai pelantikan politik.

“Sebenarnya itu Pemuda UMNO mengalu-alukan peletakan jawatan beliau. Bukan kerana dendam tetapi kerana prinsip yang kononnya dilaungkan oleh Pakatan Harapan sebelum ini tiada lantikan politik.

“Dengan peletakan jawatan Latheefa ini, saya berharap Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru akan dilantik dalam kalangan individu yang bebas daripada sebarang kaitan politik.

“Ini bagi memastikan SPRM dapat bergerak dengan bebas berlandaskan undang-undang dan tanpa gangguan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Mustafa lagi, Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu diharap lebih adil lagi-lagi konteks membuka semula kes-kes yang telah digugurkan siasatannya.

Antaranya kes-kes melibatkan pemimpin PH seperti isu pembelian banglo mewah, terowong dasar laut dan kes-kes melibatkan pemimpin PH sebelum ini.

“Pada masa yang sama, kes yang sedang disiasat perlu terus berjalan tanpa mengira watak politik yang terlibat.

“SPRM perlu menjadi sebuah badan bebas yang jauh daripada campur tangan politik. SPRM perlu diberikan kebebasan untuk melaksanakan tugas mengikut bidang kuasa yang telah digariskan.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membuat pemilihan individu yang tepat untuk mengepalai SPRM dalam usaha negara memerangi rasuah,” ujarnya. -MalaysiaGazette