Datuk Seri Mohamad Hasan
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mendedahkan rancangan Pas mengemukakan usul undi percaya terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad pada bulan lalu bertujuan mengganggu kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Malah kata Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu, langkah berkenaan turut dirancang untuk menggagalkan peluang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi dilantik sebagai perdana menteri kelapan.

“Itu sebabnya dalam mesyuarat kita katakan, Pas buat kenyataan, kita buat undi percaya kepada perdana menteri, kerana kita tau Bang Non (Anwar) nak jadi perdana menteri.

“Undi percaya pada PM Mahathir, kita bubuh satu bom asap, tengok macam mana dia lari tengah malam atau pun tak?

“Kita memang rancang begitu, supaya biar dia kelam kabut, dia dah syak wasangka antara satu sama lain. Itulah yang retakkan kedua-dua belah.

“Zaman kita sekarang zaman pelik, memang pelik. Mana ada pembangkang nak undi percaya kepada perdana menteri? Pembangkang selalunya buat undi tak percaya, dia (PH) pening kepala,” katanya memetik laporan Malaysiakini hari ini.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata demikian selepas merasmikan persidangan serentak cawangan UMNO Bahagian Pagoh, Johor hari ini.

UMNO yang bekerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional berjaya menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. ALHAMDULILLAH, MANUSIA MERANCANG ALLAH PUN MERANCANG. RANCANGAN ALLAH ADALAH PALING BAIK MAKA IKUTILAH JALAN LURUS YANG ALLAH TENTUKAN BUKAN JALAN MEREKA YANG SESAT

Comments are closed.