Datuk Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk Parti Islam SeMalaysia (Pas) menyahut gesaan bekas Menteri Pakatan Harapan (PH) membawa usul undi percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dalam sidang Parlimen akan datang.

Bendahari Pas Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, soal itu tidak timbul susulan tiada mana-mana pihak dalam Perikatan Nasional (PN) yang berebut jawatan Perdana Menteri seperti mana yang berlaku dalam PH sebelum ini.

“Anthony Loke kata dalam ceramah, Presiden Pas patut buat undi percaya di Parlimen terhadap Muhyiddin. Mungkin sebelum ini Pas nak buat undi percaya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad. Tapi buat apa?

“Keadaan berbeza. Sebelum kerajaan PH jatuh, ada dua individu daripada pihak kerajaan berebut jawatan PM.

“Kecoh satu dunia! Tapi hari ini tiada orang dalam kerajaan PN yang berebut jawatan PM. Tidak ada org daripada PN yang tuntut Muhyiddin serah kuasa. Ahli-ahli Parlimen PN menyokong pada Muhyiddin,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke semalam yang mencadangkan agar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul percaya terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 di Dewan Rakyat, Mei ini.

Saranan kepada presiden Pas itu dibuat selepas Hadi menyifatkan cadangan PH untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri memberi gambaran PH tidak percaya kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.