Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih dalam pasaran ekuiti tempatan pada minggu lepas, mencatatkan jumlah aliran keluar bersih rendah sebanyak RM879.57 juta dari Isnin-Khamis berbanding RM930.62 juta dalam tempoh yang sama dari 24-27 Februari.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran ekuiti Malaysia terus disokong dengan baik oleh dana institusi tempatan dengan pembelian bersih berjumlah RM650.67 juta.

“Begitu juga, peruncit tempatan merupakan pembeli bersih sebanyak RM228.9 juta semasa tempoh yang sama.

“Pada masa depan, kami menjangkakan pelabur kekal berhati-hati memandangkan penularan meluas COVID-19 di luar dari China,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata bank pusat di seluruh dunia nampaknya telah mengambil usaha padu untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi dengan agresif menurunkan kadar dasar masing-masing.

Ini, katanya, akan meningkatkan tarikan sekuriti pendapatan tetap seperti bon kerajaan disebabkan oleh hubungan songsang antara harga bon dan kadar faedah.

“Kami mengunjurkan pengurus portfolio cenderung mengalihkan minat mereka kepada bon atau Sukuk dengan menjangkakan hasil akan turun lebih rendah, sejajar dengan jangkaan penurunan kadar faedah oleh bank pusat,” katanya.

Menurutnya, dengan minat terhadap bon dan Sukuk meningkat, ia bermakna harga bon akan naik lebih tinggi dan hasilnya pelabur boleh meraih keuntungan.

“Kami telah melihat hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) 10 tahun jatuh di bawah 1.0 peratus. Ketika ini hasil 10 tahun bagi bon Perbendaharaan AS berada pada 0.90 peratus, turun sebanyak 25 mata asas daripada akhir Februari,” kata Mohd Afzanizam.

Begitu juga, katanya, hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia 10 tahun mencecah paras terendah dalam sejarahnya pada 2.78 peratus pada 2 Mac, sebelum melantun semula kepada 2.86 peratus pada 5 Mac.

“Peralihan dalam kelas aset boleh mengehadkan potensi peningkatan dalam pasaran ekuiti,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast