Gambar hiasan

TOKYO – Harga minyak susut kira-kira 30% dalam dagangan hari ini – paras paling teruk sejak 1991 selepas Arab Saudi melancarkan perang harga dengan Rusia melalui pengurangan jualan harga dan meningkatkan bekalan dalam pasaran yang sedang merosot disebabkan kebimbangan penularan koronavirus.

Harga minyak mentah Brent jatuh sehingga AS$14.25 atau 31.5% kepada AS$31.02 setong. Ia merupakan kejatuhan peratusan terbesar sejak 17 Januari 1991 semasa perang Teluk kali pertama dan terendah sejak 12 Februari 2016.

Brent didagangkan pada AS$35.75 pada 0114 GMT.

Manakala West Texas Intermediate (WTI) jatuh sebanyak AS$11.28 atau 27.4%, kepada AS$30 setong. Ia juga menyaksikan kejatuhan peratusan terbesar sejak perang Teluk pada Januari 1991 dan terendah pada 22 Februari 2016. WTI didagangkan pada AS$32.61.

Arab Saudi, pengeksport minyak terbesar di dunia, cuba untuk menghukum Rusia, pengeluar kedua terbesar di dunia, dengan menolak cadangan pengurangan bekalan minyak yang dicadangkan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

OPEC dan pengeluar-pengeluar lain menyokong pemotongan untuk menstabilkan kejatuhan harga yang disebabkan oleh kejatuhan ekonomi akibat daripada wabak koronavirus.

Berikutan itu, Arab Saudi merancang untuk meningkatkan pengeluaran mentah 10 juta tong sehari pada bulan April selepas perjanjian penawaran semasa antara OPEC dan Rusia, yang dikenali sebagai OPEC+- tamat pada akhir bulan Mac.

Kali terakhir Arab Saudi, Rusia dan pengeluar utama yang lain bergelut dengan situasi pasaran seperti ini antara tahun 2014 dan 2016 untuk mengekang pengeluaran Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat kini merupakan pengeluar minyak terbesar dunia dengan pengeluaran minyak syal dua kali ganda berbanding sedekad lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast