Khalid Abdul Samad

SHAH ALAM – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berharap menteri baharu yang akan mengambil alih kementerian itu minggu ini, dapat meneruskan beberapa agenda yang telah dirancang dan sedang dalam peringkat pelaksanaan.

Katanya, dalam tempoh dua tahun berkhidmat sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, beliau telah merangka sekurang-kurangnya 12 program yang memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi negara.

Antara program itu, kata beliau, pembangunan Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah, pelan pembangunan Kampung Bharu, penyelesaian sempadan KL/Selangor dan masalah penggunaan tanah kerajaan, sukan untuk semua di Wilayah Persekutuan, Skim Mikro Kredit dan Plan Malaysia, JLN, PTGWP, PKB dan MSWP.

“Harapan saya, ianya dapat diteruskan di bawah menteri yang baharu. Ini bukan soal menetapkan legasi, tetapi pekerjaan yang wajib dilakukan demi masa depan negara,” katanya pada sidang di pejabatnya di sini, hari ini.

Mengenai pembangunan Kuala Lumpur, Khalid berkata, pelan KL 2040 sedang disediakan dan sepatutnya diwartakan pada hujung tahun ini atau awal 2021 dengan usaha pendemokrasian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang diperluas bagi menambahbaik penglibatan wakil rakyat dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Katanya, menerusi pelan itu juga sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan pengangkutan awam bas GoKL dan perancangan pembangunan lain seperti menambahbaik keadaan penjaja dengan pembinaan pusat penjaja baharu.

“Bawah program ini juga kita mahu membasmi budaya orang tengah yang membebankan peniaga sebenar dan menyelesaikan projek terbengkalai termasuk Plaza Rakyat,” katanya.

Jelas beliau lagi, mengenai program pembangunan Putrajaya, kementeriannya sebelum ini telah bersetuju untuk meneruskan projek monorel bersama Kementerian Pengangkutan.

Selain itu, beliau turut menyatakan, projek Putrajaya Tower yang dalam perancangannya akan dimulakan tahun ini juga, termasuk pembinaan projek perumahan mampu milik untuk penjawat awam.

Berhubung program pembangunan Sabah, Khalid berkata, perancangannya adalah membina jambatan Labuan ke Menumbok di bawah kelolaan Kementerian Kerja Raya dan sekali gus menjadikan wilayah itu sebagai destinasi pelancongan.

“Sebanyak 100 acara telah disusun atur sepanjang tahun ini, termasuk beberapa inisiatif MoTaC akan diambilalih oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan memberi tumpuan kepada projek industri perkapalan dan inisiatif Nam Cheong.

“Mengenai pelan pembangunan Kampung Bharu pula, usaha sedang dibuat untuk membangunkan semula kawasan segi tiga emas ini.

“Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor sudah bersetuju dan kata putus akan dibuat pada Jun ini untuk pembangunan ini. Jika pemilik tanah bersetuju, perjanjian jual beli pertama dijangka ditandatangani September ini,” katanya.

Beliau turut meminta menteri yang baharu meneruskan kesinambungan perancangannya mengenai penyelesaian sempadan KL/Selangor dan masalah penggunaan tanah kerajaan.

Katanya, persoalan persempadanan KL/Selangor yang masih mempunyai 18 lokasi tidak selesai (OBP) telah dimuktamadkan dan mengharapkan masalah itu dapat diselesaikan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) tahun ini.

“Saya berharap menteri yang akan dilantik nanti dapat mempertimbangkan perancangan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Tak ada keperluan kot nk truskn ko punya perancangan..perancgan puak2 ko mntri cap ayam tak blh pkai..mcn bodoh je…lain menteri lain prancangan dia..ko tak pyh nk ajar mntri yg pndai lh ya..ko mntapi bodoh..tu 22 bln je jadi mntri tu..

  2. Aku setuju dengan awak bang. Khalid ini memang tak guna. Bercakap dengan penduduk Kg. Baru macam tak ada budi bahasa. Bongkak.

Comments are closed.