KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan Istana Negara di sini, sebentar tadi selepas hampir dua jam menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Ahli Parlimen Pagoh itu selesai menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembah senarai nama Jemaah Menteri baharu.
Kenderaan yang membawa Muhyiddin dilihat keluar melalui pekarangan pintu utama istana pukul 12.35 tengahari.
Terdahulu, Muhyiddun tiba dengan menaiki kenderaan rasmi Perdana Menteri pukul 10.50 pagi.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka mengumumkan senarai Kabinet baharu yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong itu di Pejabat Perdana Menteri, pada pukul 5 petang nanti.
Pengumuman senarai baharu itu dibuat selepas sembilan hari Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan, susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 24 Februari lalu.
Pada 29 Februari, Al-Sultan Abdullah berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, setelah Seri Paduka berpandangan Ahli Parlimen Pagoh itu mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, selepas hampir seminggu krisis politik negara berlaku.
Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada 1 Mac. – MalaysiaGazette