PUTRAJAYA- Kelembapan pertumbuhan ekonomi akibat perang perdagangan, kejatuhan harga minyak dunia dan penularan wabak Covid-19 menyebabkan Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka tidak dapat lari daripadanya impaknya.
Kebimbangan ini disuarakan tanpa berselindung oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan barisan Kabinetnya hari ini.
Mungkin disebabkan itu juga, Perdana Menteri Kelapan ini menggabungkan pakar dalam bidang masing-masing di dalam Kabinetnya.
Tentunya keputusan itu adalah untuk memastikan dasar-dasar kerajaan kali ini benar-benar mampu mengurangi impak luaran kelembapan ekonomi global dan dalam masa yang sama merangsang ekonomi domestik yang sememangnya pemacu utama pertumbuhan Malaysia.
Kembalinya Datuk Seri Mustapa Mohamed ke jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) bukanlah sesuatu yang mengejutkan ketika persekitaran ekonomi negara dan global dalam keadaan yang sangat tidak menentu ini.
Ini kerana bekas Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara(MTEN) itu sangat kaya pengalaman dalam mengendalikan krisis ekonomi Malaysia sama ada akibat serangan penyangak mata wang mahu pun akibat kelembapan ekonomi global.
Mustapa yang juga disapa sebagai Tokpa pernah menjawat antara lain jawatan Menteri Kewangan II pada 1998-1999; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2004-2006); dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dari 2009 sehingga 2018 selain pelbagai jawatan menteri yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan ekonomi seperti Menteri Pertanian dan Asas Tani pada selama setahun (2008-2009).
Selain Ahli Parlimen Jeli itu, Muhyiddin juga mengambil tindakan berani dengan melantik seorang ahli perbankan dalam Kabinetnya malah meletakkan Menteri Kewangan yang baharu, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz sebagai salah seorang daripada empat menteri kanannya yang setaraf jawatan Timbalan Perdana Menteri buat masa ini.
Dalam dunia korporat serantau, nama Tengku Zafrul bukanlah asing.
Malah pelantikan tokoh korporat ternama yang tidak terlibat dalam politik menyertai Kabinet Malaysia bukanlah perkara yang baharu.
Datuk Seri Najib Tun Razak pernah melantik “bos” Tengku Zafrul di Maybank Bhd. iaitu Tan Sri Abdul Wahid Omar ke dalam Kabinetnya pada 2013.
Tetapi Tengku Zafrul sendiri tidak hidup di bawah bayangan sesiapa meskipun pernah bernaung di bawah Wahid dan Datuk Seri Nazir Razak di CIMB.
Kumpulan perbankan yang merupakan antara yang terbesar di Asean itu tetap cemerlang di bawah teraju tokoh muda berusia 46 tahun itu tetap meskipun selepas Nazir meninggalkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif pada 2014 dan Pengerusi pada 2018.
CIMB yang mempunyai operasi di kesemua 10 negara Asean itu tidak pernah gagal merekodkan keuntungan sepanjang di bawah pentadbiran beliau.
“Ini (Tengku Zafrul) adalah orang yang hebat,” kata Muhyiddin ketika mengumumkan pelantikan beliau dan dalam masa sama memaklumkan bahawa barisan Kabinet kali ini adalah gabungan ahli politik berpengalaman, pakar dan teknokrat demi memastikan nasib rakyat terbela meskipun situasi ekonomi tidak memberangsangkan.
Untuk rekod, CIMB Group Holdings Bhd di bawah teraju Tengku Zafrul berjaya mencatat keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM4.55 bilion bagi tahun kewangan 2019 berbanding RM5.58 bilion bagi tempoh sama setahun lepas.
Kumpulan itu melaksanakan pendirian yang lebih berhati-hati pada 2020 susulan cabaran ekonomi global, ketegangan perdagangan, ancaman membabitkan penularan COVID-19 serta potensi penurunan kadar faedah selanjutnya di rantau ini.
Perolehan bagi tahun tersebut juga tinggi iaitu RM17.79 bilion berbanding RM13.38 bilion sebelum ini.-MalaysiaGazette