Zafrul
Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz yang dilantik sebagai Menteri Kewangan bertekad untuk memberi perkhidmatan terbaik untuk negara.

Beliau yakin kerjasama antara pemegang taruh yang berkaitan akan menghasilkan kejayaan untuk negara,

”Saya ingin merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan dan peluang kepada saya untuk menyumbang kepada negara.

”Dengan rasa rendah diri saya menerima tanggungjawab yang peri penting di masa kedudukan ekonomi yang amat mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) mengumumkan peletakan jawatan Tengku Zafrul sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa serta-merta.

Beliau juga melepaskan jawatan dalam semua kedudukan lembaga pengarah pada tarikh yang sama.

Tengku Zafrul telah berkhidmat selama enam tahun apabila beliau menyertai semula CIMB pada tahun 2014.

Susulan peletakan jawatan Tengku Zafrul, Pengerusi CIMB, Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata, lembaga pengarah telah melantik Omar Saddiq sebagai Pegawai Yang Bertanggungjawab ke atas CIMB Group dan CIMB Bank Berhad berkuatkuasa serta-merta.

Lembaga Pengarah juga mula melaksanakan pelan peralihan. – MalaysiaGazette