Shamsul Iskandar Mohd Akin

KUALA LUMPUR – Ucapan tahniah MCA tentang pelantikan Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagai Menteri Pengangkutan menerima kecaman Pakatan Harapan (PH).

Bekas Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mempersoalkan mengapa MCA tidak menggunakan ucapan dalam Bahasa Melayu bagi melahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melantik Ka Siong.

“Pertahankan Bahasa Melayu. Belum angkat sumpah dah macam ni,” ciap beliau di Twitter.

Ciapan itu merujuk kepada status Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan yang mengkritik ucapan tahniah di muat naik oleh MCA untuk presiden parti itu selepas diberikan jawatan menteri penuh.

Syahredzan mendakwa ucapan tahniah kepada Datuk Seri Wee Ka Siong itu hanya dalam bahasa Inggeris dan Cina, sebaliknya tidak ada pula dalam Bahasa Melayu.

Bagaimanapun semakan MalaysiaGazette mendapati, MCA telah mengeluarkan ucapan itu dalam Bahasa Melayu tiga jam lebih awal daripada ucapan dalam Bahasa Mandarin.

Di Facebook, MCA berkata, parti pimpinan Ka Siong itu akan berusaha memastikan amanah yang diberikan kepada parti tersebut akan digalas dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Kami menyedari bahawa jalan ke depan tidak mudah. Walau bagaimanapun, kami akan berusaha untuk menyuntik lebih banyak nilai keterangkuman, kepelbagaian, dan kesederhanaan dalam Kabinet untuk memastikan kerajaan baru berkhidmat kepada negara kita,” tulis MCA lagi. – MalaysiaGazette