Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kanan) memulakan hari pertama bertugas selepas Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 10 MAC 2020

PUTRAJAYA- Selepas selesai majlis angkat sumpah di Istana Melawati petang tadi, Menteri Kewangan yang baharu Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz tidak membuang masa sebaliknya terus ke kementerian bagi memulakan tugasnya, hari ini.

Tiba dengan menaiki kenderaan jenis Range Rover berwarna hitam kira-kira jam 6.05 petang, bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Holdings Bhd. yang masih memakai persalinan baju Melayu itu disambut oleh pengurusan tertinggi kementerian yang diketuai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir.

Selepas “clock-in” secara rasmi, Tengku Zafrul diberi taklimat dan memasuki pejabat beliau di tingkat 12, bangunan Kementerian Kewangan.

Tidak banyak yang boleh dikongsikan bersama media selepas kira-kira dua jam menjawat jawatan tersebut secara rasmi, Tengku Zafrul meminta supaya beliau dizinkan untuk mendengar taklimat daripada KSP terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

Pastinya soalan berhubung penyelerasan semula Belanjawan 2020 susulan penurunan harga minyak global ditanya kepada Menteri Kewangan baharu itu.

“Saya perlu mendengar taklimat daripada Tan Sri (KSP) terlebih dahulu, belum masuk kerja lagi ini.

“Nanti selepas ini baru saya kembali berjumpa anda semua, tolong beri saya masa,” katanya kepada pemberita yang merakam detik pertama beliau “clock-in” di Kementerian Kewangan hari ini.

Ketika ditanya apakah misi pertama beliau sebagai Menteri Kewangan terutama ketika negara sedang berhadapan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan ketika ini, Tengku Zafrul mengulangi jawapan yang sama.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan yang baharu dalam pembentukan Kabinetnya yang merangkumi ahli politik berpengalaman, teknokrat dan pakar dalam bidang masing-masing.-MalaysiaGazette