Foto CNN Indonesia

JAKARTA (Reuters) – Indonesia sedang mempertimbangkan hasrat untuk membida penganjuran temasya Sukan Olimpik 2032 di ibu negara baharunya di Kalimantan.

Menurut sumber, Presidennya Joko Widodo sedang melakukan rundingan awal dengan Ketua Eksekutif Softbank, Masayoshi Son dan pelabur-pelabur lain.

Pada Ogos lalu, negara yang mempunyai penduduk keempat teramai di dunia itu mendedahkan rancangan untuk membina ibu negara baharu yang ‘pintar dan hijau’ dengan kos AS$34 bilion di Kalimantan bagi menggantikan Jakarta yang sudah terlalu padat dan kini tenggelam sedikit demi sedikit.

Menurut Ketua Lembaga Pelaburan Indonesia, kerajaan sedang menilai bagaimana untuk menjadikan ibu kota yang masih belum bernama itu sebagai calon untuk lokasi Olimpik 2032, lapor Reuters.

Lembaga tersebut telah menghantar bidaan tetapi masih belum jelas sama ada pelan terbaharu itu turut merangkumi sebarang acara di Kalimantan.

Dua individu yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu memberitahu Reuters bahawa pegawai tertinggi kerajaan sedang cuba mendapatkan sokongan SoftBank berhubung cadangan tersebut semasa Son berada di Jakarta, akhir bulan lepas.

Widodo menamakan pengasas SoftBank itu bersama bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Bin Zayed al Nahyan sebagai penasihat untuk membantu Indonesia menarik dana.

Menurut sumber, Son terbuka dengan cadangan penganjuran sukan Olimpik itu yang mana SoftBank dilihat bakal memberikan bantuan daripada segi temasya berkenaan manakala Grab, syarikat e-hailing yang didokong SoftBank bertindak sebagai ‘rakan kongsi mobiliti’.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) akan memilih rtuan rumah Sukan Olimpik 2032 pada 2025. – Agensi