Gambar hiasan

TEKA-teki siapa individu yang akan menganggotai barisan jemaah menteri di bawah kepimpinan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudahpun terjawab. Tampil dengan beberapa kejutan termasuk buat pertama kali tidak ada pelantikan jawatan
Timbalan Perdana Menteri sebaliknya digantikan dengan jawatan Menteri kanan yang akan bertindak sebagai penyelaras, kini sudah pastinya tumpuan seluruh rakyat Malaysia beralih kepada harapan kepada barisan Kabinet ini dalam melaksanakan
tanggungjawab mereka sabaik yang mungkin.

Gabungan kelompok politik muka lama dan baharu bersama-sama dengan golongan teknokrat seperti Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan juga agamawan seperti Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di bawah satu bumbung ini sewajarnya memberikan harapan yang besar kepada rakyat. Malah ketiadaan beberapa nama besar dalam kabinet ini yang sedang
berhadapan dengan kes mahkamah turut boleh membantu mengukuhkan lagi sentimen keyakinan rakyat terhadap jemaah menteri ini.

Kita berharap barisan Kabinet ini akan menjadi Kabinet yang mewakili dan berkhidmat untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa kira latar belakang agama, bangsa dan sosio ekonomi. Jadilah menteri yang berbakti kepada rakyat dan negara dan bukan kepada parti masing-masing. Buang jauh-jauh baju parti mahupun kepentingan parti kerana tugas Kabinet merentasi ideologi parti politik.

Justeru penulis percaya rakyat mahu Kabinet ini terus bermula dengan gear lima. Hal ini kerana kita sedang berhadapan dengan pelbagai masalah besar seperti ancaman wabak Covid-19 serta pertumbuhan ekonomi yang sangat tidak menentu. Oleh itu
alasan tiada pengalaman atau baru pertama kali jadi menteri sudah tidak boleh diterima lagi. Barisan Kabinet ini terutamanya orang baru perlu segera belajar dan menyesuaikan diri dengan tuntutan dan keperluan tugas sebagai seorang menteri
mahupun timbalan menteri. Ringkasnya, jangan ambil masa yang terlalu lama untuk menyesuaikan diri dengan skop tugas kementerian masing-masing.

Dalam konteks ini menteri wajar menggunakan pengamalan dan kepakaran yang ada pada Ketua Setiausaha (KSU) dan pengawai-pegawai lain yang sudah berkhidmat lama dalam kementerian untuk membantu meneruskan perkhidmatan yang terbaik
kepada rakyat. Mudahnya, walaupun berstatus menteri, jangan segan, malu apatah lagi ego untuk belajar dari orang lain yang mempunyai pengalaman dan boleh membantu kita. Yakin dan percayalah dengan kemampuan penjawat awam yang ada, mereka pasti boleh memberikan nasihat dan pandangan secara profesional.

Kita juga berharap menteri baharu tidak mudah membatalkan program mahupun projek yang sedia ada atau yang telah dirancang untuk dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu. Jangan terlalu cepat menjatuhkan hukum sebaliknya buatlah penilaian
yang sewajarnya sebelum membuat keputusan. Jika program atau projek tersebut sangat baik dan boleh memberi impak yang besar kepada rakyat dan negara, eloklah diteruskan seperti dirancang. Jika ianya ada kelemahan maka bolehlah dibuat
penambahbaikan yang sewajarnya. Keputusan membatalkan sesuatu projek hanya kerana ianya merupakan idea menteri terdahulu tidak sepatutnya menjadi satu pilihan tatkala kita sedang berhadapan dengan pelbagai masalah ekonomi dan
kekangan bajet.

Malah menteri juga perlu ingat betapa pandangan bahawa menteri baharu mesti memperkenalkan program atau projek baharu sebagai idea dan buah fikiran kerajaan sekarang tidak sepatutnya menjadi budaya dalam kalangan orang politik di negara ini. Bertindaklah secara profesional dan jangan melazimi budaya serta cara kerja seperti itu. Hal ini kerana ianya boleh merugikan negara dan membazir duit rakyat.

Begitu juga dalam soal peraturan dan dasar yang sedang berkuatkuasa. Sedarlah tidak ada keperluan untuk membatal, merombak atau mengubah sesuatu dasar hanya kerana perubahan kerajaan atau adanya pelantikan menteri baharu. Teruskan saja apa yang sudah ada dan perbaiki jika ada kelemahan bila tiba masanya. Tiada keperluan untuk mengubah itu dan ini secara mengejut kerana ianya boleh mengelirukan dan menyusahkan rakyat dalam kehidupan seharian mereka.

Kita juga berharap dengan terbentuknya barisan Kabinet ini, cakap-cakap politik dapat dikurangkan sebaliknya kita mahu para menteri fokus untuk menyelesaikan masalah serta mensejahterakan rakyat dan membangunkan negara. Sesungguhnya kita sedang berhadapan dengan situasi yang cukup getir dan sukar. Rakyat semakin terhimpit untuk meneruskan kehidupan yang semakin menjadi umpama kais pagi
makan pagi dan kais petang makan petang. Jadi hentikan sebentar soal politik dan tolong selesaikan masalah rakyat dengan tuntas.

Semoga barisan jemaah menteri yang dilantik ini dapat memikul tanggungjawab dan amanah sebaik mungkin. Insaflah betapa jawatan dan kedudukan ini adalah satu amanah dan tiada apa yang perlu dibanggakan. Justeru, berkhidmatlah untuk rakyat
dan negara dengan jujur dan ikhlas. – MalaysiaGazette

Oleh: NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
TIMBALAN PENGARAH
PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast