Aliff Syukri

KUALA LUMPUR – Ibu usahawan kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan rasa geram dan kesal terhadap sikap anaknya itu yang kembali meraih kritikan selepas memuat naik video nyanyian di Instagram miliknyanya, semalam.

Ini gara-gara penyanyi Bobo Di Mana itu mendedahkan dia akan melancarkan single terkininya dan berharap agar lagu berkenaan lolos pada Anugerah Juara Lagu tahun hadapan.

Menurut Rozita Ibrahim atau mesra disapa Bonda, dia mendapat cacian dari netizen apabila tindakan anaknya itu meraih perhatian seterusnya mendapat reaksi bercampur-campur netizen.

Dia tampil bersuara secara terbuka seterusnya memuat naik video nasihat buat anaknya itu.

“Assalamualaikum Syukri. Mak terpaksa buat video ini. Walaupun mak senyum, tapi hati mak sakit kerana tak habis lagi masalah, timbul pula masalah lain.

“Selama ini mak tegur pun, kau (Aliff) tak pernah dengar, kan? Mak tegur cara baik, mak marah, sekarang dah sehabis lembut dah.

“Mak dah puas Whatsapp, yang ini tak betul, itu tak betul, tapi kau masih buat juga. Seburuk mana kelakuan anak, orang tak cakap kau buruk, orang cakap aku yang tak pandai jaga anak,” kata Rozita di Instagram miliknya.

Malah, Rozita menyifatkan titipan nasihat yang diberikan selama ini seolah-olah seperti mencurah air ke daun keladi.

Rozita pada sama sama turut akui, suara anaknya itu tidak sedap untuk mengalunkan lagu.

“Mak rasa mak tarbiyah kau dengan cara paling lembut, jagalah maruah kerana kebaikan kamu adalah kebaikan mak, begitu juga sebaliknya.

“Kalau betul mak tak berjaya didik kau, kenapa tak semua adik-beradik ikut macam itu?

“Mak dah cakap dah, sekarang kau buat lagi lakonan air mata darah tu. Apa yang derita sangat? Tak payahlah berlagu-lagu Syukri, semua orang tahu suara kau tak sedap dan memang tak sedap pun.

“Tak payah nak berlagu. Kau yang pilih jalan untuk menjatuhkan sebab kau suka orang kecam. Masalahnya, perangai kau itu terpalit dekat mak. Kalau mak tak tegur, kau tak nak dengar.

“Sekarang mak buat video, letak kat IG mak supaya kau tengok bahawa tak semua orang suka apa yang kita buat,” katanya tegas.

Pada masa sama, Rozita mahu Aliff bersikap matang dan profesional sebagai seorang usahawan berjaya.

“Jangan suka dengan hinaan orang hanya untuk nak dapatkan publisiti. Cukuplah Syukri pun dah ada segala-galanya.

“Niat mak bukan nak jatuhkan kau, sebab mak sayangkan kau. mak pun dah tak tahu nak komen macam mana lagi.

“Kalau kau nak mak panjang umur dan hidup aman, tolong jadi seorang usahawan professional, bukan penyanyi sebab kau bukan artis.

“Tak perlu menunjukkan perkara-perkara merapu, sesuai dengan umur.

“Tolong kasihan maruah kami (mak, ayah, adik beradik, anak-anak) bukan diri sendiri,” akhirinya.

Terdahulu, Aliff memuat naik video di Instagramnya dalam keadaan sebak dengan ‘air mata darah’ mulai keluar lalu membasahi baju putih yang dipakainya.

Single baru berjudul Ingin Bahagia itu dijadual akan dilancarkan secara rasmi pada Jumaat atau Isnin depan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.