PUTRAJAYA – Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diberi tanggungjawab mempengerusikan mesyuarat Kabinet dan melakukan apa yang perlu jika Perdana Menteri tidak berada di dalam negara.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pertama kerajaan Perikatan Nasional yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, hari ini.

Bercakap kepada media selepas mesyuarat tersebut, Muhyiddin berkata, jika Azmin yang bertanggungjawab ke atas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga tiada, maka seorang lagi Menteri Kanan iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengambil alih tugas itu.

Ditanya adakah wujud hierarki dalam kalangan keempat-empat menteri kanan itu, perdana menteri menjelaskan, mereka semua berada pada kedudukan yang sama.

“Saya mempunyai sokongan yang banyak dan saya fikir ini adalah functional Cabinet yang akan berkhidmat untuk kepentingan negara,” katanya.

Muhyiddin ketika mengumumkan barisan Jemaah Menteri Isnin lalu menamakan empat menteri kanan iaitu Azmin, Ismail Sabri (Menteri Pertahanan); Datuk Seri Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya) dan Dr Mohd. Radzi Jidin (Menteri Pendidikan).

Keempat-empat Menteri Kanan itu akan membantu beliau menjalankan tugas-tugas berikutan ketiadaan jawatan timbalan perdana menteri dalam Kabinet yang dibentuk selepas tumbangnya kerajan Pakatan Harapan.

Muhyiddin turut ditanya mengenai kemungkinan akan diadakan pilihan raya sebelum berakhirnya mandat yang diberikan oleh rakyat.

“Ini hari pertama kami bekerja, berilah kami peluang. Perjalanan masih jauh dan memang ini perkara penting.

“Kita akan rancang dengan betul untuk pilihan raya nanti, dan sekarang terlalu awal untuk bercakap mengenainya,” kata Muhyiddin. – MalaysiaGazette