Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama sebahagian daripada barisan menterinya.

PUTRAJAYA – “Saya bersedia untuk mengambil cabaran tersebut. Saya mahu gaji saya dipotong, mungkin lima atau 10 peratus,” kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah kerajaan mempertimbangkan pemotongan gaji jemaah menteri memandangkan barisan Kabinet kali ini adalah lebih besar berbanding sebelumnya.

Bagaimanapun menurut Muhyiddin, cadangan tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya buat pertama kalinya pagi tadi.

Namun beliau percaya, kebanyakan menteri yang dilantiknya bersedia untuk melakukan apa sahaja demi menabur khidmat kepada negara.

“Kami tidak membincangkan perkara tersebut hari ini jadi jangan (buat keputusan) melangkaui perbincangan tetapi apa yang saya boleh katakan, kami bersedia menyumbang apa yang kami mampu.

“Mungkin dengan cara itu kita boleh berjimat,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai saiz Kabinet yang lebih ramai kali ini, Muhyiddin menegaskan, ia adalah satu keperluan mengikut situasi yang melanda negara ketika ini.

“Ada keperluan (untuk menubuhkan kementerian-kementerian baharu) contohnya Kementerian Perpaduan. Kita sudah ada Jabatan Perpaduan sebelum ini, jadi sudah ada bajet di bawah jabatan tersebut tetapi jika ada keperluan seperti perlukan kakitangan tambahan atau sebagainya yang memerlukan penambahan bajet, Tan Sri Ketua Setiausaha Negara akan membuat pertimbangan, jika beliau fikirkan wajar maka bajet akan ditambah.

“Kita tahu kerajaan perlu berbelanja secara berhemah tetapi dengan situasi yang dihadapi sekarang contohnya hubungan di antara kaum dan sebagainya maka penting untuk kita bersatu semula, jadi walau apa pun kos yang perlu dibayar, kerajaan akan lakukan,” ujarnya.

Berbanding Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang hanya mempunyai 27 menteri dan 26 timbalan menteri, Muhyiddin telah melantik 32 menteri dan 38 timbalan menteri dengan tujuh kementerian mempunyai dua timbalan.- MalaysiaGazette

4 Komen

  1. Lebih pada 2.5 % gaji… Kira sangat bagus langkah yg diambil oleh TSMY. setidaknya ditolak sudah wang zakat. Seoertimana Ahli Parlimen Pas, mereka juga menolak wang gaji dan elaun dlm beberapa peratus. Sebahagian pada parti, sebahagian utk zakat, sebahagian kerja csr mereka sendiri. Amat dipuji langkah yg diambil.

  2. SELEPAS INI KUTIPAN DERMA OLEH PAS DI MASJID2 BOLEH DIHENTIKAN, BUAT AMAL PULA DENGAN MEMBERI DERMA KEPADA MASJID

  3. Ahli Pas bebas dan tidak pernah rasa terbeban utk menyumbang kpd parti, parti lain yg rasa terseksa melihat ahli Pas membuat kebajikan maybe mereka ada masalah hati kot.

  4. Cakap tak serupa bikinlah, lebih punya cerita.. Dah potong jalan dari pintu belakang, skrg dia pura-pura bodoh bendul minta gajinya dipotong konon…

Comments are closed.