Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin melakukan cap jari pengimbas waktu bagi memulakan hari pertama bertugas diiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (tengah) dan Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yassin (kiri) selepas Mesyuarat Ahli Menteri Kabinet di Kementerian Dalam Negeri, Kompleks D1, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 11 MAC 2020

PUTRAJAYA – Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Dalam Negeri sebagai bertuah kerana dapat belajar daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun beliau menegaskan, tugasnya itu sebagai satu tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikulnya.

Jelas beliau, amanah itu bukan diberikan untuk dirinya bahkan untuk timbalan-timbalan menterinya serta keseluruhan warga Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Banyak benda yang perlu dilaksana dan cepat belajar selain bertuah dapat belajar dari Perdana Menteri.

“Pada waktu sama, satu tanggungjawab yang besar bukan untuk diri saya tetapi rakan-rakan timbalan kerana perlu bekerjasama dengan semua ketua setiausaha dan timbalan ketua setiausaha KDN dan pegawai-pegawai kementerian ini.

“Kementerian sepatutnya dapat menentukan segala keselamatan patut selesai dengan sebaik mungkin,” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin diiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (tengah) dan Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yassin (kiri) memakaikan kad pengenalan diri KDN bagi memulakan hari pertama bertugas sambil diperhatikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Jamil Rakon (dua kanan) selepas Mesyuarat Ahli Menteri Kabinet di Kementerian Dalam Negeri, Kompleks D1, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 11 MAC 2020

Beliau berkata demikian kepada media selepas memulakan tugas rasmi Menteri Dalam Negeri di Kompleks KDN di sini hari ini.

Turut hadir, timbalannya, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut merakamkan ucapan terima kasih kepada Muhyiddin Yassin di atas pelantikannya itu.

“Saya agak terkejut dan tidak menyangka akan berada di Kompleks KDN sebagai menteri di kementerian ini,” katanya. – MalaysiaGazette