Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi (dua kanan) diiringi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid (dua kiri) bercakap sesuatu dengan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (kanan) pada hari pertama memulakan tugas di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, (KPDNHEP) Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 12 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Sekalipun tidak mempunyai manifesto khusus daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal  Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berikrar  akan tetap menjalankan tanggungjawab demi rakyat.

Bagaimanapun, katanya, kementerian itu bersedia untuk  menyediakan manifesto sendiri sekiranya diarahkan oleh Perdana Menteri.

“Kalau itu adalah arahan daripada Perdana Menteri, kita akan buat.

“Terlalu awal untuk saya beri pengesahan sama ada akan buat manifesto atau tidak untuk KPDNHEP.

“Ada manifesto atau tidak, KPDNHEP masih perlu buat kerja,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada Majlis Sambutan Kedatangan Menteri dan Timbalan KPDNHEP Datuk Rosol Wahid.

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu setiap kementerian dan jabatan kerajaan mengemukakan cadangan bersesuaian berkaitan dasar pembangunan untuk manfaat rakyat dan kumpulan tertentu, termasuk pelabur.

Jelas beliau, langkah itu perlu kerana kerajaan yang terbentuk hari ini diasaskan dalam keadaan luar biasa tanpa manifesto khusus.

Ditanya tentang apakah kelebihan yang boleh diberikan kepada rakyat dengan pelantikannya, Alexander berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup di seluruh negara, khususnya di Sarawak.

“Saya bukan hanya menteri untuk rakyat Sarawak, saya menteri untuk seluruh rakyat Malaysia.  -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Silap lantik. Manifesto tu janji sblm PRU. Dah jadi kerajaan, nak buat manifesto apa lagi. X perlu. Mcm ni punya org pun blh berjaya dlm politik ke? Diam2 buat kerja sudahla…Adoiiii

Comments are closed.