Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Redzuan Md Yusof bercakap pada sidang media selepas selesai Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Penyakit Coronavirus (COVID-19) Bilangan 3 Tahun 2020 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 12 MAC 2020

PUTRAJAYA – Keputusan sama ada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu diteruskan atau dibatalkan ekoran situasi gelombang kedua Covid-19 akan dirujuk kepada Kabinet.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof berkata, segala bentuk perhimpunan awam termasuk bertaraf antarabangsa tidak digalakkan ekoran ancaman Covid-19 yang kini diisytiharkan sebagai pandemik.

“Kita ambil serius tentang apa yang kita melihat hari ini iaitu gelombang kedua penularan Covid-19, jadi kita berbincang panjang lebar yang mana kita akan kaji semula sebarang bentuk perhimpunan awam.

“Kita tidak menggalakkan perhimpunan awam melebihi 250 orang yang ditetapkan mengikut protokol bagi mengekang risiko penyebaran Covid-19.

“Perhimpunan antarabangsa juga kita tidak galakkan dan kita mahu sekat sekiranya diteruskan, perhimpunan yang telah dijadualkan contohnya, APEC 2020,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Covid-19 di Perdana Putra  petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta sama ada sukan antarabangsa dan perhimpunan antarabangsa yang mengumpulkan pemimpin dan atlet mungkin dihentikan terus sekiranya gelombang virus beertambah teruk.

Tambah Mohd. Redzuan, isu Sidang APEC 2020 akan dibawa kepada jemaah menteri untuk membuat keputusan mengenai penganjuran program yang mengumpulkan ribuan pemimpin negara dan delegasi di Kuala Lumpur pada November ini diteruskan atau tidak.

“Tindakan itu bagi memastikan Kabinet membuat keputusan sama ada boleh atau tidak kita meneruskan program itu yang telah dirancang misalnya APEC 2020 dan Badminton All England juga sukan kita nak pastikan ia tidak akan diadakan dalam masa kita sedang menghadapi pandemik virus maut ini,” tegasnya.

“Kita sudah sebut dulu lagi, sebarang program perhimpunan besar tak digalakkan, harap dapat kerjasama semua pihak,” katanya.

Ditanya sama ada kenduri kahwin juga tergolong dalam aktiviti perhimpunan awam skala besar, beliau berkata; “Ini terpulang kepada orang yang mahu meneruskan himpunan atau aktiviti yang seperti disebutkan tadi (kenduri kahwin).

“Kita ada akta-akta tertentu untuk perintah yang dikeluarkan akan dipantau supaya semua patuh perintah itu,” ujarnya.- MalaysiaGazette