Tan Sri Muhyiddin Yassin

Marhaba… Suasana politik negara kita sedikit hari lalu berkocak lagi. Kali ini ibarat tsunami yang menghempas daratan. Kecoh juga. Che Pah pun tumpang sekaki. Kena juga ambil tahu. Pelbagai perkara yang tidak pernah terduga dalam kancah politik negara telah berlaku.

Namun Alhamdulillah segala kemelut ini terungkai sudah. Che Pah tabik dengan keberanian Yang di-Pertuan Agong mendepani permasalahan ini.

Baginda Tuanku telah menunjukkan sikap yang adil sebagai payung negara dengan memanggil semua yang terlibat untuk bersemuka lantas menyatakan suara hati mereka.

Tingkah laku segelintir bekas pemimpin negara yang tak ubah seperti budak budak berebut gula gula akhirnya dapat ditamatkan dengan kebijaksanaan Duli Tuanku.

Keadilan serta kesaksamaan Duli Tuanku dalam menyelesaikan pergolakan ini sedikit sebanyak membuka mata semua terutama generasi muda yang sudah mula kurang hormat dengan payung Negara.

Cuba bayangkan jika Tuanku tiada, pasti lebih berantakan jadinya. Maka buat mereka yang gemar menghina Raja, Che Pah harap dapat telitikan hal ini dengan berlapang dada.

Paling best kawan kawan wartawan Che Pah. Dengar kata mereka dihidang dengan pelbagai jamuan kala berkampung di depan pintu Istana Negara. Kenyang perut mereka.

Yang pasti sebelum mereka dijamu dengan pelbagai juadah enak, mereka telah pun kenyang dengan budi bahasa Tuanku.

Baginda sendiri turun mencemar Duli sehingga ke pintu Istana semata mata ingin bersama sama membahagikan juadah buat semua.

Che Pah yakin bukan makanan itu yang di kira oleh rakan wartawan Che Pah, tetapi budi bahasa Tuanku itu yang utama. Bukankah budi bahasa itu tidak boleh dijual beli. Tuanku sudah tunjukkan contoh terbaik disini.

Kepada rakyat Malaysia juga Che Pah ucapkan tahniah kerana kita telah menunjukkan sikap yang paling cool dan meneruskan hidup seperti biasa tika masalah berat ini melanda.

Alhamdulillah tiada berlaku sebarang kejadian rusuhan mahupun demonstrasi yang menggugat keamanan negara apatah lagi merencatkan aktiviti ekonomi negara berlaku.

Semua berjalan seperti biasa. Sedang kemelut berkocak, rakyat Malaysia masih lagi tenang dan pergi berkerja seperti biasa.

Tiada huru hara dari golongan pelampau sebagaimana di negara lain berlaku di bumi tercinta ini.

Rakyat mengambil sikap tunggu dan lihat sambil memerhati gelagat politikus yang sedang merebutkan kuasa.

Ibarat kata sambil sambil makan kuaci depan televisyen itu, kita perhatikan saja tindakan segolongan ahli politik yang sedang berusaha menempatkan diri sambil kita ketawa.

Ada juga segolongan mereka yang tiba tiba memekik di jalanan dengan pembesar suara. Mereka mewakili suara ke tidakpuasan hati rakyat katanya.

Bagus juga ada yang boleh bersuara. Cumanya lain kali Che Pah nasihat dapatkan mikrifon yang kualiti sikit ya. Kesian tengok dia memekik melolong seperti hendak terkeluar anak tekak ibaratnya.

Akhirnya Perdana Menteri baru orang kampung Che Pah iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin di angkat sebagai Perdana Menteri ke 8.

Tahniah Tan Sri. Selayaknya Tan Sri menjawat jawatan ini. Che Pah rasa sedap hati. Bukan kerana Tan Sri orang kampung Che Pah. Bukan juga kerana Tan Sri orang Muo Bandar DiRaja.

Akan tetapi apa yang membuat Che Pah rasa senang hati ialah apabila mengambil kira latar belakang Tan Sri sendiri.

Biar Che Pah cerita sedikit ya apa yang Che Pah tahu tentang Tan Sri. Tan Sri sebenarnya anak seorang ulamak. Anak tokoh agama.

Ya betul iman itu tidak boleh diwarisi. Akan tetapi bukankah jika benih yang baik itu jika dicampak ke laut pasti menjadi pulau. Pasti didikan agama telah mendarah daging dalam jasad Perdana Menteri baru kita ini.

Siapa tak kenal dengan sosok ayah Tan Sri iaitu Tuan Guru Haji Mohammad Yassin bin Mohammad. Kalau sebut nama ini, satu Muo tahu. Didikan agama dari bapa pasti sedikit sebanyak mencorak percaturan politik beliau.

Ayah kepada Tan Sri banyak menyumbang kepada perkembangan syiar Islam di Muar khususnya serta di Negeri Johor amnya.

Tuan Guru Mohammad Yassin Mohammad

Beliau juga ada menubuhkan sekolah agama yang khusus mengajar subjek agama secara mendalam di Muar. Antara sekolah yang Tuan Guru dirikan seperti Sekolah Menengah Mohammad Yassin dan Sekolah Arab Saadiah yang kedua duanya terletak di Jalan Bakri, Muar.

Maka dengan dasar agama yang kukuh ini, Che Pah rasa sesuai benar Tan Sri menjawat jawatan penting dalam negara kita.

Seorang pemimpin itu bagi Che Pah bukan sahaja harus bijak berpolitik tapi mereka harus punya ilmu agama yang kukuh didalam diri.

Kala seorang pemimpin itu KENAL DIRI maka mereka akan KENAL TUHAN nya. Maka apabila mereka telah KENAL, pasti wujud jiwa kehambaan didalam diri.

Tahu yang diri mereka punya Tuhan. Apabila mereka sedar bahawa Tuhan itu MAHA Melihat lagi MAHA Mengetahui, maka pasti mereka akan buat kerja dengan beramanah, bertanggung jawab serta jujur.

Masih ingat lagi slogan BERSIH, CEKAP, AMANAH?. Slogan ini tidak berupaya untuk mencapai matlamatnya andai golongan pemimpin tidak merasa diri sebagai hamba yang punya Tuhan.

Apabila rasa itu tiada, maka banyak perkara tidak diingini akan berlaku. Rasuah akan bermaharaja lela. Kenapa ia berlaku? Kerana kita tidak merasakan diri ini diperhatikan Tuhan.

Tiada rasa perhambaan. Maka kita punya keinginan yang didesak syaitan. Mata pun kabur. Hati pun hitam.

Hasilnya, ramai yang kini diheret ke muka pengadilan. Belas hati Che Pah melihat ramai anak ISLAM diheret ke muka pengadilan hanya kerana mengikutkan rasa sehingga melakukan rasuah.

Mereka semua orang baik. Che Pah tak kata mereka jahat. Cuma nakal sikit. Bak kata pepatah orang tua tua, ikutkan rasa binasa ikutkan hati mati.

Walau bagaimana pun Allah itu kan MAHA PENGAMPUN. Tugas kita sebagai hamba mudah saja. Kala melakukan kesalahan dan maksiat maka Allah beri kita ruang untuk bertaubat.

Apabila kita ditimpa masalah maka kita harus banyak bersabar. Ketika kita diberi rezeki yang melimpah ruah sewajarnya kita syukur.

Itu saja yang ada buat kita. Che Pah sendiri praktikkan tiga perkara ini dalam hidup. Maka bagi yang sudah melakukan kesalahan, tidak kira pemimpin mahupun rakyat biasa, usah gundah gulana.

Rasakan diri sebagai hamba. Berbisiklah kepada Allah. Bermunajat dimalam hari. Bersendirian dengan Allah. Luahkan apa yang dirasa. Mengaku kealpaan diri. Buang jauh jauh malu itu kerana Allah Maha Tahu.

Perbaiki diri kita. Kembali sebagai pemimpin dan bangsa Islam serta Melayu yang berjalan di landasan yang telah dianjurkan Allah dan Sang Rasul.

Insyaallah bangsa Islam dan Melayu bakal dihormati kembali.

Che Pah menulis ini untuk semua. Dari peringkat tertinggi hingga ke golongan marhaen. Dari Istana hingga ke rumah setinggan. Che Pah menulis juga untuk menegur diri yang banyak buat kesilapan ini.

Buat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan kabinet yang baru sekali lagi Che Pah ucapkan tahniah.

Cuma sedikit pesanan Che Pah buat pak menteri serta mak menteri yang ada. Pemimpin lama yang sudah banyak mencurah bakti usah dicaci jangan dikeji hanya kerana ideologi serta pandangan yang berbeza.

Orang lama ini umpama Quran buruk. Hendak dibaca sudah tidak boleh. Hendak dibuang bimbang ketulah.

Tunjukkan contoh yang baik. Sikap anda bakal ditiru serta menjadi ikutan generasi baru. Paparkan nilai sopan santun yang terbaik selaras Rukunegara kita.

Anggaplah coretan Che Pah ini sebagai bingkisan hadiah serta luahan rasa dari kami rakyat yang sentiasa menyokong kepimpinan negara. No hard feeling okay. Salam ukhuwah buat semua.