Itali mengenakan sekatan sementara operasi restoran dalam usaha menangani wabak koronavirus. foto Agensi

ROM – Itali menutup semua kedai kecuali pasar raya dan farmasi berikutan lonjakan kes penularan wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Giuseppe Conte berkata, bar, restoran, kedai gunting rambut dan kedai-kedai bukan barangan penting juga perlu ditutup.

Namun, operasi penghantaran barang-barang yang dibeli ke rumah dibenarkan.

Langkah itu dibuat selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan koronavirus itu sebagai pandemik selepas kes-kes jangkitan di luar China meningkat 13 kali ganda dalam tempoh dua minggu.

Pandemik ditakrifkan sebagai penyakit yang merebak di banyak negara di seluruh dunia pada masa yang sama.

Conte berkata, beliau “sangat prihatin terhadap penularan wabak yang membimbangkan”.

Dalam ucapan di televisyen, Conte berkata, sebarang kesan sekatan yang ketat – berkuat kuasa dari hari Khamis hingga 25 Mac.

Itali sudah pun menutup sekolah, gimnasium, muzium, kelab malam dan tempat-tempat akses orang ramai di seluruh negara.

Negara ini menyaksikan lebih daripada 12,000 kes positif Covid-19 dengan angka kematian seramai 827 kes. – MalaysiaGazette