Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan laporan sebuah portal yang mendakwa beliau mempertahankan pembalakan di Kelantan.

Dalam satu kenyataan kepada media hari ini, beliau menegaskan, laporan tersebut tidak tepat malah aktiviti pembalakan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Kementerian Alam Sekitar ingin menegaskan laporan yang dikeluarkan itu tidak tepat. Aktiviti pembalakan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Kementerian Alam Sekitar sebagai agensi yang menerajui isu alam sekitar dan biodiversiti akan terus melaksanakan aktiviti pemuliharaan, pemeliharaan dan perlindungan khazanah semula jadi negara selaras dengan dasar serta undang- undang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah portal yang mendakwa, beliau mempertahankan kegiatan pembalakan di Kelantan, iaitu negeri yang ditadbir oleh Pas.

Kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, Kelantan mendapat sijil ISO berbanding dengan negeri lain yang langsung tidak dapat dan sebahagian kritikan dibuat ke atasnya disebabkan sentiment pembangkang.

Kerajaan Kelantan sebelum ini dihujani kritikan kerana membenarkan kegiatan pembalakan yang antara lain menjejaskan kehidupan masyarakat Orang Asli di Gua Musang serta dikaitkan dengan pencemaran sungai di negeri itu.

Berikutan laporan itu juga, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam Tuan Ibrahim kerana didakwa mempertahankan aktiviti pembalakan di Kelantan dan menunggu maklum balas bagi pendirian kementerian berhubung isu itu.

“Kenyataan yang sambil lewa dan tidak bertanggungjawab. Sedangkan kita perlu merangka dasar yang membela alam sekitar, termasuk hutan,” kata Anwar.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan-kerajaan negeri dan pihak berkepentingan lain bagi menyusun strategi untuk mendepani isu alam sekitar dan biodiversiti.

Kata beliau, dalam usaha melindungi kelestarian hutan dan biodiversiti, pemantauan dan penguatkuasaan akan ditingkatkan bagi memastikan pematuhan kepada peraturan sedia ada.

“Kerajaan tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menjalankan aktiviti bertentangan dengan undang-undang negara berkaitan alam sekitar dan perhutanan.

“Usaha ini adalah untuk menjaga kelestarian alam sekitar dan biodiversiti dengan lebih berkesan daam memacu pembangunan mampan di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette