Foto hiasan - Pekerja sedang melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Taman Metropolitan, Kepong, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 FEBRUARI 2020

PETALING JAYA – Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin diharapkan dapat memansuhkan pelaksanaan gaji minimum RM1,200 untuk 57 bandar yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, dasar yang bertujuan menunaikan manifesto PH itu pada asalnya dijadual dilaksanakan 1 Februari.

Beliau berkata, gaji minimum itu bagaimanapun hanya akan memanfaatkan kira-kira 1.5 juta pekerja asing selain menyebabkan aliran tunai ke luar negara sebanyak RM3.8 bilion hingga RM4 bilion setahun.

Katanya, pekerja asing sebelum ini telah menghantar RM3.4 bilion ke negara asal mereka dan jumlah itu tidak membabitkan pekerja tanpa izin.

“Keadaan ini akan melemahkan kadar pertukaran ringgit,” katanya kepada Sinchew Daily.

Selain gaji minimum, MEF juga berharap kerajaan baharu menilai semula cuti bersalin sektor swasta yang akan ditambah daripada 60 hari kepada 90 hari mulai 2021.

Shamsuddin berharap kerajaan juga dapat mempertimbangkan penangguhan cukai jualan (10 peratus) dan cukai perkhidmatan (enam peratus) atau mengenakan kadar lebih rendah untuk menghadapi keadaan pasaran yang lemah.

Katanya, cukai SST itu boleh diaktifkan semula apabila ekonomi negara mengalami pemulihan.

“Terdapat juga pihak yang mencadangkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksana semula, tetapi pertukaran sistem cukai akan menambah kos perniagaan.

“MEF justeru tidak berapa bersetuju dengan pengaktifan semula GST,” katanya. – MalaysiaGazette