IPOH – Tiga pemimpin utama Perikatan Nasional Perak hari ini menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta di sini, bagi menyembah maklum mengenai situasi politik terkini di negeri berkenaan.

Mereka yang mula tiba di istana berkenaan kira-kira 2.30 petang tadi ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad; Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria.

Ini kali kedua ketiga-tiga pemimpin berkenaan menghadap Sultan Nazrin selepas yang pertama pada Selasa setelah Perikatan Nasional Perak sepakat untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Pada Selasa, Sultan Nazrin memberi perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak.

Sehari sebelum itu, Ahmad Faizal  mengumumkan Perikatan Nasional Perak terdiri daripada UMNO, PAS dan Bersatu mendapat sokongan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada keseluruhan 59 ADUN bagi membentuk kerajaan baharu di negeri itu.

Pada 5 petang ini, tujuh bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak daripada kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, dijangka menghadap Sultan Nazrin.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast