Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar Ramanaidu (kiri) mengimbas kad perakam waktu pada hari pertama memulakan tugas di Menara Seri Wilayah Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa akan mengumumkan berita baik kepada warga kota selepas diangkat sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Selasa lalu.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, berita gembira itu akan diumumkan beliau tidak lama lagi.

“Selepas lebih 30 tahun saya meninggalkan DBKL sebagai town planner, hari ini saya kembali ke DBKL dan di beri taklimat terperinci oleh Datuk Bandar (Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan).

“InsyaAllah saya akan umumkan beberapa berita gembira untuk warga kota sedikit masa lagi,” katanya di Twitter rasmi beliau, hari ini.

Annuar, 63, diangkat menjadi Menteri Wilayah Persekutuan pada Selasa lalu di bawah pimpinan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Setiausaha Agung UMNO itu merupakan lulusan ijazah Sarjana dalam Pengurusan Pembinaan daripada University College of London serta ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Desa daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau mula berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Perancang Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 1981 selama setahun dan Pengarah Bahagian Perancang Korporat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kelantan bagi tempoh yang sama bermula 1985. -MalaysiaGazette