Pusat teater di New York ditutup untuk mengelakkan orang ramai berhimpun, foto Reuters

ROM – Kebanyakan negara mengambil langkah membatalkan semua acara membabitkan penyertaan orang ramai serta sekolah-sekolah dan institusi budaya ditutup dalam usaha menangani penularan wabak koronavirus.

Di Amerika Syarikat, semua acara sukan di gantung dan persembahan Broadway ditutup sebulan.

Beberapa muzium dan galeri utama telah menutup operasinya.

Manakala di Perancis, semua sekolah, universiti dan pusat penjagaan ditutup.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyifatkan penularan koronavirus sebagai krisis kesihatan paling serius dalam abad ini.

Lebih daripada 125,000 orang telah didiagnosis dengan Covid-19 di 118 negara di seluruh dunia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Jumlah kematian kini lebih daripada 4.600 kes.

Muzium Van Gogh dan Rijksmuseum di Amsterdam, ditutup sehingga akhir bulan ini.

Di Amerika Syarikat, Muzium Seni Metropolitan New York, muzium seni terbesar di dunia berkata, ia menutup sementara ketiga lokasinya di bandar.

Semua muzium Smithsonian di Washington DC dan New York City akan ditutup dari hari Sabtu.

Gabenor Negeri New York Andrew Cuomo melarang semua perhimpunan lebih daripada 500, mendorong Broadway untuk menangguhkan semua persembahannya selama sebulan.

Disneyland di California mengumumkan akan menutup premis itu mulai hari Sabtu.

Kegawatan wabak koronavirus ini mendorong filem Fast and Furious terkini ditangguhkan 11 bulan, salah satu daripada beberapa filem yang melanjutkan tarikh tayangan rasmi.

Malah, Festival Filem Tribeca di Amerika Syarikat turut ditangguhkan.

Qatar pula mengumumkan penutupan semua pawagam, teater, gimnasium, kawasan permainan dan muzium. – MalaysiaGazette