Siti Zailah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff kekal dengan pendiriannya untuk memperjuangkan pakaian pramugari yang patuh syariah.

Justeru itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk memperincikan perkara tersebut.

Zailah memaklumkan beliau yakin Zulkifli juga mempunyai agenda yang sama sepertinya.

“Menutup aurat ni satu perintah dalam Islam, itu kewajipan dalam Islam.

“Setiap orang mulsim wajib tutup aurat. Ini bukan perintah kerajaan, ini perintah Allah yang menciptakan kita manusia. Jadi saya tegur, sebab pakaian pramugari memang semua masyarakat tidak setuju, ia menjolok mata.

“Jadi InsyaAllah dengan kerajaan yang ada ini, saya akan buat kunjung hormat dalam masa terdekat ke pejabat Menteri Agama, dan saya  yakin perkara ini pun sudah ada dalam agenda mereka,” katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemakaian patuh syariah di kalangan pramugari memerlukan pindaan undang-undang termasuk Akta Kerja.

Tambah Ketua Dewan Muslimat Pas Kelantan itu, undang-undang berkaitan pemakaian pramugari yang patuh syariah turut memerlukan penjelasan kepada bukan Islam bahawa ia hanya terpakai kepada orang Islam.

“Sebab kita kena perlu kepada pindaan undang-undang, terutama Akta Kerja, kalau libatkan kakitangan yang bekerja, (ia perlu) supaya polisi patuh syariah itu dilaksanakan dalam pentadbiran negara kita. Untuk orang Islam, bagi orang bukan Islam, berpakaian sopan, kita tak paksa,” ujarnya.

Katanya, kunjungannya ke pejabat Zulkifli turut meneliti isu pakaian atlet.

Pada 2018, Siti Zailah pernah mengajukan soalan di Dewan Rakyat mengenai pakaian seragam pramugari yang dianggapnya menjolok mata.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada ketika itu berkata, setiap syarikat penerbangan bebas memilih pakaian korporat masing-masing. – MalaysiaGazete