Richlist Club Malaysia bekerjasama dengan TWI Watches untuk menambah ahli baharu.

KUALA LUMPUR – Richlist Club Malaysia (RCM) iaitu sebuah kelab gaya mewah di Asia yakin dapat menambah jumlah keahliannya antara tiga hingga lima kali ganda pada tahun ini.

Presidennya, Diana Loo berkata, sasaran itu mampu dicapai melalui kerjasama kelab itu dengan TWI Watches yang merupakan syarikat pembuat jam tangan berjenama.

Beliau berkata, ketika ini, kelab yang ditubuhkan pada tahun 2017 itu memiliki seramai 80 ahli di seluruh negara.

“Kami yakin dapat menambah bilangan ahli dalam kelab seiring dengan perancangan TWI Watches untuk membuka sehingga 30 cawangan pada tahun ini.

“Kami turut mensasarkan golongan usahawan bumiputera yang berminat kepada gaya hidup mewah untuk menjadi ahli kelab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis memeterai memorandum persefahaman antara RCM dengan Maxi Wise Sdn. Bhd. Di oulet TWI Watches di Viva Home Shopping Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Dr. Shariffa Sabrina Syed Akil, Naib Presiden RCM, Datin Louis Loi, Penasihat Kelab RCM, Uzir Abdul Samad dan Penasihat Jenama TWI Watches bagi rantau Asia Pasifik, Peter Chen.

Ahli baharu Richlist Club Malaysia bakal menerima sebuah jam tangan mewah TWI Watches.

Mengulas lanjut, Diana berkata, pihaknya menawarkan tiga kategori keahlian yuran dari serendah RM30,000, RM300,000 hinggalah kepada RM1 juta hingga RM3 juta.

Jelas beliau, setiap ahli yang mendaftar dengan nilai yuran antara RM1 juta hingga RM3 juta untuk keahlian seumur hidup bakal menerima sebuah jam tangan mewah TWI Watches sebagai tanda penghargaan.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama RCI dengan TWI Watches, pihaknya memberi fokus perkhidmatan selain ingin memberi pengalaman terbaik buat ahli kelabnya yang mahu memiliki jam tangan mewah di outlet.

“Ini kerana jam tangan TWI Watches diperbuat daripada bahan berkualiti dan bertatahkan berlian yang bermutu tinggi yang boleh dijadikan pelaburan seperti emas,” katanya.

Sementara itu, Shariffa Sabrina menerangkan, pihaknya berasa berbangga kerana sebuah kelab mewah seperti RCM mengambul inisiatif untuk membantu Peka bersama-sama aktif dalam pemuliharaan alam sekitar.

Menurutnya, tidak ramai golongan bergelar VIP yang mahu terlibat dalam kerja-kerja sosial untuk memelihara alam sekitar dan melalui kerjasama ini, akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan golongan mewah ini.

Puan Sri Dr. Shariffa Sabrina Syed Akil

Seiring dengan pemeteraian MOU berkenaan, kutipan 10 peratus daripada yuran menjadi ahli kelab baharu RCM akan diserahkan kepada Peka.

Melalui sumbangan berkenaan, pertubuhan ini boleh menambah banyak lagi aktiviti untuk meneruskan usaha mereka dalam aspek pemuliharaan alam sekitar.

“Jika sebelum ini, golongan VIP lebih tertarik kepada aktiviti kepada kapal layar mewah sambil bercuti dan menghadiri jamuan-jamuan elit, kini beralih kepada aktiviti yang berkaitan dengan alam sekitar, flora dan fauna serta perhutanan.

“Ternyata berbeza tetapi ia bakal menawarkan satu pengalaman ‘mewah’ kepada VIP dengan menyedut udara segar, beriadah untuk mendapat manfaat kesihatan terbaik dan melihat sendiri keindahan ciptaan Tuhan di alam hutan,” katanya. – MalaysiaGazette