Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. foto FAREEZ FADZIL, 01 MAC 2020

KUALA KANGSAR – Senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) Perak yang baharu akan diketahui selewat-lewatnya minggu hadapan, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau yang mencipta sejarah apabila dua kali menjadi Menteri Besar Perak dalam tempoh 22 bulan berkata, pembentukan Exco perlu disegerakan selepas ia tidak bermesyuarat lebih daripada lima minggu susulan kemelut politik yang melanda negara, baru-baru ini.

Ahmad Faizal berkata, senarai Exco yang lengkap akan dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah untuk mendapat perkenan dan memberi jaminan mereka yang dipilih telah ditapis melalui agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

“Pasti saya mengambil iktibar seperti yang dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam senarai Kabinet yang baru dilantik pada Isnin lepas.

“Calon itu mestilah tidak mempunyai masalah yang membebankan dan memberi imej tidak baik kepada kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media selepas beliau dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-13 di sini hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata, beliau akan membincangkan mengenai senarai Exco bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

“Harap apabila diperkenankan Sultan, Exco yang baharu dapat segera mengangkat sumpah sebaiknya dalam tempoh seminggu. Saya fikir tidak akan mengambil masa yang panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal merafak sembah atas perkenan Sultan Nazrin memberi kepercayaan melantik beliau sebagai Menteri Besar ke-13 dan berjanji untuk menjaga kepentingan rakyat tanpa memikirkan kepentingan politik.

Sementara itu, Razman berkata, pemilihan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar amat tepat dan wajar memandangkan beliau telah berkorban meletakkan jawatan sebelum ini demi gabungan kerajaan yang baharu.

Katanya, pelantikan itu perlu diterima seluruh rakyat secara terbuka dan berharap tiada lagi polemik politik selepas ini.

Saarani pula meminta semua ahli UMNO menerima pelantikan Ahmad Faizal selain meminta mereka bekerja lebih kuat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. – Bernama