Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan kesemua 18 kes pegawai dan anggotanya termasuk ahli keluarga mereka yang disyaki menunjukkan simptom COVID-19 didapati negatif daripada virus berkenaan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi Bernama berkata kesemua mereka telah dikuarantin di rumah masing-masing.

“Setakat hari ini, keputusan yang diterima ialah negatif tetapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengarahkan mereka berada di bawah pengawasan di rumah masing-masing,” katanya sambil menegaskan PDRM akan terus membantu KKM di setiap peringkat bagi mengekang virus ini daripada terus merebak.

Dalam perkembangan sama, Acryl Sani berkata Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman mengambil langkah berjaga-jaga dan mempertingkatkan pencegahan di sekitar kawasan Bukit Aman berikutan penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata pihaknya telah menyediakan cecair pencuci tangan pembasmi kuman di setiap pintu masuk pejabat dan premis-premis bagi kegunaan pegawai dan anggota polis bertugas.

“PDRM turut mengeluarkan arahan agar menyediakan penutup hidung dan mulut serta sarung tangan kepada pegawai dan anggota yang bertugas di lapangan.

“Selain itu, polis juga mengambil keputusan untuk membatalkan dan menangguhkan kebanyakan aktiviti seperti sambutan Hari Polis atau perasmian balai-balai polis ke satu tarikh baharu,” katanya.

Acryl Sani berkata ini berikutan saranan kerajaan melalui satu mesyuarat petang semalam supaya semua agensi kerajaan menangguh, menunda atau membatalkan mana-mana aktiviti yang memerlukan orang ramai untuk berhimpun sama ada dalam kalangan kami atau orang ramai.

Beliau berkata penugasan setiap pegawai dan anggota polis berjalan seperti biasa namun langkah-langkah pencegahan wabak tersebut dipertingkatkan.

Berikutan itu, Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata warga PDRM yang bertugas di peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut mengambil langkah-langkah pencegahan bagi menangani COVID-19 seperti menangguhkan majlis-majlis dan aktiviti yang melibatkan orang ramai.

“Sekiranya sesuatu majlis itu tetap dijalankan maka saringan suhu badan akan dilakukan selain penyediaan penutup hidung dan mulut kepada anggota polis yang bertugas di lapangan,” katanya.

— BERNAMA