Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusoff gembira dan bangga melihat penstrukturan semula dan pemulihan Lembaga Tabung Haji (TH) berada di landasan yang tepat.

Jelasnya, agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.05 peratus dengan jumlah agihan sebanyak RM2.1 bilion itu membuktikan kejayaan yang telah dilakar hasil usaha TH sepanjang pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Tambahnya, misi kerajaan PH adalah untuk menyelamatkan institusi-institusi besar seperti TH, 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan Felda daripada penyelewangan.

Dalam kes TH katanya, terdapat dua aspek utama yang perlu dipelihara iaitu pendeposit seramai sembilan juta orang dan nilai deposit sebanyak hampir RM70 bilion.

“Kami berjaya meyakini pendeposit bahawa langkah pemulihan adalah untuk TH terus mampan dan meneruskan tujuan murni ia diasakan. Alhamdulillah tiada panik dan nilai deposit kekal kukuh.

“Ramai yang menimbulkan fitnah malah tergamak menyerang bertujuan untuk pendeposit keluarkan simpanan mereka di TH!

“Mereka tidak melihat impak fitnah kerana mereka dah ‘mabuk’ untuk menjatuhkan kerajaan PH walaupun menggunakan TH sebagai bahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.05 peratus hasil prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik.

TH berjaya menjana pendapatan pelaburan berjumlah RM3.3 bilion yang mana hampir separuh daripadanya (RM1.2 bilion) diperolehi dalam suku keempat.

Menurut Mujahid, misi menyelamatkan TH bawah pentadbirannya bermula dengan mengenal pasti masalah utama iaitu kedudukan sebenar kewangan firma tersebut dan mematuhi akta penubuhannya.

Ini termasuk membuat rosot nilai sebenar supaya pengiraan untung/rugi adalah tepat.

Katanya, kedudukan sebenar kewangan TH iaitu pada Disember 2017 menunjukkan lonjakan defisit hampir RM4.1 bilion berbanding aset.

Ini sekaligus dapat mengenalpasti nilai rosot sebenarnya dan lebih utama membuktikan pengeluaran hibah (dividen) bercanggah dengan akta TH, Seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Akta menegaskan aset perlu melebihi tanggungan sebagai syarat untuk keluarkan dividen dan perlu mencatatkan keuntungan. Kedua-dua syarat akta tidak dipenuhi.

“Umpama penyakit kritikal, pembedahan memang perit dan sakit tetapi penting untuk proses pemulihan.

“Tiga misi utama berjaya ditangani dengan komitmen kerajaan PH apabila ‘aset tenat’ bernilai RM10 bilion pada harga pasaran disandarkan melalui pemindahan kepada SPV dengan nilai asal menjadikannya hampir RM20 bilion,” katanya lagi.- MalaysiaGazette