Donald Trump. foto CNN

WASHINGTON – Presiden Donald Trump mengisytiharkan darurat di seluruh Amerika Syarikat (AS) susulan penularan wabak koronavirus.

Wabak itu telah menjangkiti 138,000 orang dan menyebabkan kematian seramai 5,000 orang di seluruh dunia.

Dengan pengisytiharan itu, AS akan mendapat lebih banyak bantuan kerajaan untuk menangani wabak tersebut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak ini sebagai pandemik, mendorong banyak sekolah dan perniagaan ditutup serta pergerakan manusia disekat.

“Untuk melepaskan kuasa penuh Kerajaan Persekutuan untuk usaha menangani wabak ini, hari ini, saya secara rasmi mengisytiharkan darurat kebangsaan – dua perkataan yang sangat besar,” kata Trump dalam ucapan di Rose Garden, White House.

Kata Trump, situasi di AS boleh menjadi lebih teruk dan “lapan minggu seterusnya adalah kritikal.

Pentadbiran AS akan mengeluarkan bantuan berjumlah AS$50 bilion kepada seluruh negara dan pihak berkuasa tempatan.

Trump sebelum ini dikritik oleh pakar-pakar kerana lambat bertindak dalam menangani ancaman koronavirus atau Covid-19.

Pengisytiharan itu dibuat selepas dua hari Trump mengumumkan peraturan ketat kemasukan ke AS oleh penduduk benua Eropah, tetapi dikecualikan kepada Britain. – MalaysiaGazette