Dr. Adham Baba

PUTRAJAYA – Sebanyak 190 kes positif Pandemik Koronavirus (Covid-19) telah dilaporkan Kementerian Kesihatan hari ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Menurutnya, dengan angka tersebut, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 setakat 15 Mac 12 adalah sebanyak 428 kes.

Berdasarkan siasatan awal KKM, mendapati kebanyakan kes-kes baharu ini adalah berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling.

“Manakala tujuh kes yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad Hospital Sungai Buloh sekaligus menjadikan 42 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Malah sehingga kini, katanya, seramai sembilan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan memerlukan bantuan pernafasan.

Justeru, ujar beliau penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan tabligh masih sedang giat diteruskan.

Dalam pada itu, katanya KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menyeru agar peserta perhimpunan tabligh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

Adham menambah peserta perhimpunan tabligh akan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian seksyen 15(1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling atau kontak rapat kepada kes positif Covid-19 mengikut mana yang terkemudian.

“Begitu juga untuk kontak rapat kepada kes positif COVID-19, PUI (Individu Dalam Siasatan) yang tidak mematuhi kriteria kemasukan ke dalam hospital, mereka juga perlu diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian mengikut ketentuan di bawah Akta yang sama.

“Sehubungan itu, KKM ingin memaklumkan bahawa semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah telah menjalankan aktiviti berkaitan bagi kawalan kejadian COVID-19 dalam kalangan jemaah tabligh dan juga lain-lain kes disyaki COVID-19 bagi mengekang penularan jangkitan ini,” ujar beliau.

Beliau menasihati semua pihak supaya memberi kerjasama rapat apabila kepada pihak KKM dan bersama-sama membendung penularan ini dengan mengikuti nasihat-nasihat rasmi yang dikeluarkan.

“Rakyat Malaysia diminta tidak menularkan sebarang maklumat yang boleh menyebabkan kebimbangan kepada orang awam.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperoleh dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, ” tegasnya lagi.-MalaysiGazette