Foto hiasan - Seorang pelawat melakukan saringan suhu badan bagi mencegah jangkitan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Sungai Buloh, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah menubuhkan bilik gerakan pemantauan pemberhentian pekerja ekoran wabak Covid-19.

Ia bertujuan merekod maklumat pemberhentian yang berlaku di Semenanjung Malaysia.

Malah ia juga akan memainkan peranan memantau maklumat situasi perburuhan yang terjejas akibat penularan pandemik tersebut.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan hari ini juga menyeru semua majikan agar membuat saringan terhadap pekerja masing-masing dan membantu dalam mengenalpasti sama ada terdapat pekerja mereka yang menghadiri mana-mana perhimpunan ijtimak tabligh dan perhimpunan keagamaan di Pulau Pinang baru-baru ini.

“Sekiranya ada, kerjasama pihak majikan dipohon agar mengarahkan pekerja berkenaan untuk mengisytiharkan diri dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran bagi mendapatkan nasihat serta tindakan lanjut,” kata kementerian itu lagi.

Dalam perkembangan sama KSM menggesa agar pekerja dan majikan menggunapakai seksyen-seksyen di dalam Akta Kerja 1955 susulan daripada penularan wabak Covid-19.

Antara seksyen yang diminta kementerian untuk digunapakai oleh pekerja dan majikan adalah Seksyen 60F dan Seksyen 60E (1B), Seksyen 60F Akta Kerja 1955.

Justeru KSM juga mengarahkan pekerja untuk segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan atas pembiayaan majikan.

Kementerian juga memperincikan tempoh kelayakan Cuti Sakit Bergaji (Tanpa Hospitalisasi) dalam setahun kalender bagi seseorang pekerja adalah 14 hari cuti sakit bergaji tempoh bekerja dua tahun ke bawah, 18 hari jika bekerja antara dua hingga lima tahun dan 22 hari Cuti Sakit Bergaji untuk pekerja melebihi lima tahun.

“Majikan perlu memberikan cuti sakit bergaji atau kelayakan hospitalisasi sepanjang tempoh rawatan di hospital bagi pesakit yang disahkan mempunyai simptom jangkitan Covid-19.

“Bagi pekerja yang diberi arahan kuarantin melebihi tempoh kelayakan cuti sakit atau hospitalisasi, majikan digalakkan untuk memberi kemudahan bayaran tambahan kepada pekerja bagi tujuan menjaga keharmonian hubungan pekerja dan majikan.

“Sekiranya majikan tidak membenarkan cuti sakit bergaji, ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 60F, Seksyen 60E (1B) Akta Kerja 1955,'” kata kenyataan itu.

Malah pekerja yang diberi perintah Kuarantin atau Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah Kediaman – tempoh kuarantin tidak boleh dipaksa menggunakan cuti tahunan sepanjang tempoh kuarantin tersebut kerana cuti tahunan merupakan suatu hak pekerja dan majikan juga tidak boleh melarang pekerja datang bekerja tanpa Perintah Kuarantin atau Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah Kediaman dikeluarkan oleh pengamal perubatan berdaftar kepada pekerja.

Bagaimanapun, majikan boleh mengarahkan mana-mana pekerja yang tidak sihat untuk tidak hadir bekerja dan membenarkan cuti bergaji dibayar kepada pekerja tersebut.

Tetapi majikan boleh mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja sebagaimana yang disyorkan di dalam tatacara untuk keharmonian perusahaan iaitu mengehadkan kerja lebih masa, mengurangkan hari-hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja seminggu.

“Selain itu majikan boleh mengurangkan waktu bekerja harian pekerjanya, melaksanakan pemberhentian kerja sementara (lay-off) misalnya dalam bentuk penutupan sementara (temporary shutdown) dengan menawarkan gaji yang berpatutan dan membantu mereka mendapatkan kerja sementara di tempat lain sehingga operasi dapat diteruskan semula.

“Satu lagi penyelesaian ialah mengurangkan gaji pekerja yang dibuat secara adil di semua peringkat boleh dilaksanakan sebagai langkah terakhir selepas langkah-langkah penjimatan kos lain telah dilaksanakan,” katanya.

Sekiranya berlaku keadaan yang menyebabkan kemerosotan dalam perniagaan sehingga menyebabkan majikan mengambil tindakan untuk mengurangkan tenaga kerja atau pemberhentian pekerja, majikan perlu merujuk Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja yang boleh diperolehi di laman sesawang JTKSM iaitu http://jtksm.mohr.gov.my.

“Majikan dikehendaki menggunakan Borang Pemberhentian (PK) bagi tujuan melapor pemberhentian kepada JTK terdekat sekurang-kurangnya 30 hari sebelum mengambil tindakan seperti pemberhentian pekerja, pemberhentian Pekerja Secara Sukarela, Pemberhentian Kerja Sementara (Lay-Off); atau Pengurangan Gaji (Pay Cut).

“Mana-mana majikan yang gagal mematuhi arahan seperti di atas sekiranya disabitkan kesalahan, majikan akan didenda tidak lebih daripada RM10, 000 bagi setiap kesalahan,” tegas KSM.-MalaysiaGazette