Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba bercakap pada sidang media berhubung situasi semasa jangkitan penyakit koronavirus Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Jalan Cenderasari, Tasik Perdana, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 MAC 2020

PUTRAJAYA – Sebanyak 125 kes positif pandemik Covid-19 telah dilaporkan Kementerian Kesihatan hari ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Beliau menjelaskan, dengan angka tersebut, jumlah kes positif Covid-19 setakat pukul 12 tengahari ini adalah sebanyak 553 kes.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal telah mendapati kebanyakan kes-kes baharu itu masih lagi berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling di ibu kota baru-baru ini.

Tambah Adham, Selangor kini mendahului jumlah pesakit Covid-19 yang teramai diikuti Kuala Lumpur, Sabah dan Johor.

“Sehingga kini, seramai 12 kes positif iaitu peningkatan tiga pesakit dari semalam yang sedang dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Mengambil kira keadaan terkini, Kementerian Kesihatan ingin memberitahu bahawa kami telah memasuki tahap pembendungan akhir iaitu pembendungan lewat.

“Dalam tahap pembendungan akhir, ia bertujuan untuk membendung penularan infeksi Covic-19 daripada menjadi lebih serius di Malaysia,” katanya pada sidang media khas di kementeriannya di sini hari ini.

Pada masa sama, Adham turut memberitahu KKM juga dalam persediaan untuk memasuki tahap mitigasi kelak.

Jelas beliau, antara langkah-langkah yang telah diambil dengan menjadikan Hospital Sungai Buloh sebagai ‘hospital penahanan’ khusus untuk kes positif pandemik berkenaan.

“Selain itu, pihak kementerian akan meningkatkan kapasiti selain mengenal pusat pusat kuarantin di seluruh negara.

“Kami juga akan terus bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak swasta dalam pengurusan kes Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette