PUTRAJAYA – Semua fasiliti atau kemudahan awam yang disediakan di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan (MoTAC) ditutup sementara sehingga 30 April 2020.

Kementerian dalam kenyataan media di sini hari ini memaklumkan perkara tersebut untuk rujukan pengunjung khususnya pelancong tempatan dan asing yang berada di negara ini.

Sebanyak sembilan jabatan dan agensi yang beroperasi di bawah naungan MOTAC akan dihentikan operasi sementara ekoran penularan serius gelombang kedua Pandemik Koronavirus 2019 (Covid-19).

Senarai sembilan jabatan dan agensi yang terlibat penutupan perkhidmatannya untuk pelancong adalah Jabatan Muzium Negara, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Jabatan Warisan Negara, Arkib Negara Malaysia,Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Istana Budaya dan akhirnya Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC).

Pusat Pelancongan menutup tujuh premis yang beroperasi iaitu Dewan Tunku Abdul Rahman, Auditorium Mini, Amphiteater, Bilik Audio Visual, Studio Latihan, Gelanggang Gasing dan Lanai.

Istana Budaya juga menutup khidmat Panggung Sri, Lambang Sari, Bilik Seri Nilam dan Pusat Sumber.

Manakala Perpustakaan Negara juga menutup premisnya yang disediakan khidmat di Perpustakaan Komuniti di UTC Keramat, AEON Mahkota Cheras, AU2 Setiawangsa, Perpustakaan Bukit Damansara, Perpustakaan Bukit Jelutong, dan 507 cawangan Perpustakaan Desa di seluruh negara.

Justeru Kompleks Kraf di ibu negara, Johor dan Langkawi juga ditutup kepada kunjungan awam sepanjang tempoh larangan yang dijelaskan.

Dalam pada itu lokasi yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong iaitu Memorial Negarawan, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tunku Abdul Rahman dan Dewan Penyelidikan (ibu pejabat dan negeri) juga ditutup.

Manakala Galeri Arkeologi Lenggong, Perak, Galeri Melahyu Jalan Hutton di Pulau Pinang dan Tapak Arkeologi Sungai Batu Kedah juga ditutup bagi tempoh tersebut.

Akhirnya 20 premis muzium termasuk Mizum Arkeologi Lembah Bujang dan Galeri Perdana dibawah kelolaan Jabatan Muzium Negara juga ditutup kepada kunjungan awam.-MalaysiaGazette