Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Keputusan pandangan hukum berikutan penularan wabak COVID-19 akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja di negeri-negeri bagi mendapat perkenan untuk tindakan selanjutnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pandangan itu hasil daripada Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang diadakan di Putrajaya hari ini bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

“Ahli muzakarah juga telah meneliti pembentangan kajian pandangan hukum oleh Dr Aizam Mas’od, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa al-Zuhaili (ACE), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Wan Zahidi Wan Teh mempengerusikan mesyuarat tersebut yang dihadiri oleh semua mufti negeri atau wakilnya serta Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri dan wakil Majlis Agama Islam Negeri.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman, yang menyampaikan taklimat terkini berkenaan COVID-19.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham di Facebook rasminya hari ini, berkata beliau turut mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pihak pengurusan Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur,  berhubung jangkitan COVID-19 dalam kalangan jemaah perhimpunan tabligh, baru-baru ini.

Beliau berkata antara perkara yang dibincangkan termasuk situasi semasa jangkitan COVID-19 terutama berkaitan dengan kluster dalam kalangan jemaah tabligh dan tindakan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) serta pihak masjid berkenaan.

“Pihak pengurusan masjid akan membantu dan bekerjasama rapat dengan KKM dan JAKIM untuk terus berkomunikasi dengan ahli jemaah tabligh terutama bagi memastikan semua yang terlibat dapat hadir untuk pemeriksaan, saringan atau ujian yang ditetapkan,” katanya.

Perbincangan itu dijalankansecara sidang video di antara KKM yang diwakili Dr Noor Hisham, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon manakala JAKIM diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Hakimah Yusuf Timbalan yang menjalankan tugas Ketua Pengarah JAKIM serta Aziz Muhammad.

Dr Noor Hisham juga menyeru agar peserta perhimpunan tabligh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

Peserta perhimpunan tabligh akan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling atau kontak rapat kepada kes positif COVID-19 mengikut mana yang terkemudian.

Perhimpunan jemaah tabligh itu diadakan dari 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

Setakat tengah hari tadi, KKM melaporkan sebanyak 190 kes baharu telah positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 428 kes. Berdasarkan siasatan awal, kebanyakan kes baharu itu berkait dengan kluster perhimpunan tabligh di masjid tersebut.

— BERNAMA