Seorang jururawat melakukan saringan suhu badan bagi mencegah jangkitan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Sungai Buloh, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2020.

KUALA LUMPUR- Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sendiri akan mempengerusikan mesyuarat tersebut dan memaklumkan perkembangan terkini kepada rakyat dari masa ke semasa.

Jelasnya, kerajaan terpaksa mengambil tindakan drastik mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac ini sehingga 31 Mac 2020 bagi menyekat penularan wabak berkenaan.

Perintah kawalan tersebut jelasnya, dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 yang merangkumi penutupan keseluruhan premis dan institusi di negara ini kecuali sektor-sektor penting seperti bekalan makanan, kesihatan dan barang keperluan serta rantaiannya.

“Di Malaysia, telah berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak, iaitu 190 kes semalam, disusuli 125 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ini adalah sebanyak 553 orang.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 orang telah pun pulih.

“Kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini terutama perkembangan gelombang kedua.

“Keutamaan Kerajaan pada masa ini adalah untuk mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat.

“Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin,” katanya dalam satu perutusan khas malam tadi.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai pertanyaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula jam 12 tengah hari esok.- MalaysiaGazette